Lebih 3,800 kambing korban ditempah menerusi masjid-masjid S'pura; 90% pilih sedekah daging
Kesemuanya 3,838 kambing korban ditempah menerusi Jawatankuasa Masjid-Masjid Singapura (JKMS) tahun ini - iaitu suatu lonjakan sebanyak 54 peratus berbanding Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

(Gambar hiasan: Daniel Munoz/Reuters)
SINGAPURA: Kesemuanya 3,838 kambing korban ditempah menerusi Jawatankuasa Masjid-Masjid Singapura (JKMS) tahun ini - iaitu suatu lonjakan sebanyak 54 peratus berbanding Hari Raya Aidiladha tahun lalu.
Tahun lalu sekitar 2,950 ekor kambing ditempah menerusi JKMS.
Bilangan kambing yang ditempah tahun ini malah melebihi jumlah kambing yang ditempah sewaktu prapandemik. Pada 2019 - kali terakhir kambing dapat diimport ke Singapura - 3,700 kambing ditempah dan disembelih di 26 masjid tempatan.
Menariknya, JKMS turut memberitahu BERITAmediacorp bahawa lebih 55 peratus daging kambing korban yang ditempah kali ini akan disedekahkan kepada golongan memerlukan.
Ini setelah lebih 90 peratus sohibul korban menyatakan hasrat untuk menderma sebahagian atau kesemua daging kambing korban masing-masing.
Semua perkembangan ini dicatat meskipun harga kambing korban ditawarkan JKMS lebih tinggi tahun ini. Harga seekor kambing adalah antara S$320 hingga S$370 seekor sedangkan harga yang ditawarkan pada 2020 adalah antara S$300 hingga S$330.
DAGING KORBAN DIJANGKA TIBA PALING LEWAT JUMAAT INI
Tahun ini merupakan tahun kedua berturut-turut kambing korban tidak diterbangkan ke Singapura dek situasi pandemik yang menyukarkan pelbagai usaha untuk menjalankan ibadah korban di sini.
Ibadah korban sebaliknya perlu dilaksanakan di Australia di mana daging korban akan dibekukan sebelum dihantar ke Singapura.
Menurut JKMS, daging kambing korban yang ditempah masyarakat setempat dijangka tiba di Singapura antara 22 hingga 23 Julai.
Mereka yang membuat tempahan menerusi jawatankuasa itu akan menerima daging korban masing-masing bermula 24 Julai. Tempoh pengagihan pula akan berlangsung sehingga pertengahan Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.