Skip to main content

Singapura

Lebih 3,000 aduan merokok diterima setiap bulan pada 2020

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam sebulan menerima purata 2,900 aduan merokok di kawasan larangan dan 210 aduan merokok di lokasi bukan kawasan larangan pada 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 3,000 aduan merokok diterima setiap bulan pada 2020

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Feb 2021 04:28PM Dikemas Kini : 02 Feb 2021 04:29PM

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam sebulan menerima purata 2,900 aduan merokok di kawasan larangan dan 210 aduan merokok di lokasi bukan kawasan larangan pada 2020.

Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor berkata demikian di Parlimen pada Selasa (2 Feb) ketika menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Yeo Wan Ling (PAP-Pasir Ris-Punggol).

Cik Yeo bertanya mengenai jumlah aduan merokok di tempat-tempat sedemikian dan sama ada pihak berkuasa menimbangkan untuk mentakrifkan semula kawasan larangan merokok berdasarkan parameter yang berbeza.

Menurut Dr Khor, NEA secara bertahap-tahap sudah memperluaskan larangan merokok ke lebih banyak tempat di mana orang ramai boleh terdedah kepada asap tembakau secara tidak langsung.

"Jumlah orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu adalah antara pertimbangan ketika menetapkan kawasan-kawasan yang dilarang merokok, di samping faktor-faktor lain seperti sama ada tempat itu tertutup dan berapa kerap ia dikunjungi oleh para keluarga dan golongan yang mudah terjejas," katanya.

Selain usaha pemerintah untuk melarang merokok, beliau turut menggesa para perokok supaya "bersikap bertanggungjawab sosial dan menghindari daripada merokok di tempat-tempat di mana asap rokok boleh menjejas mereka yang berada di sekeliling mereka".

"Keluarga dan rakan perokok, serta orang awam, boleh membantu mengukuhkan norma sosial yang positif," katanya.

Dalam responsnya, Cik Yeo turut menarik perhatian bagaimana sesetengah laluan pejalan kaki yang sering digunakan oleh para keluarga dan golongan warga emas, dilengkapi dengan tempat abuk rokok pada tong sampah yang membolehkan para perokok untuk merokok.

Beliau bertanya jika pihak berkuasa akan menimbangkan untuk memindahkan tong sampah ini ke kawasan di mana lalu lintas manusia berkurangan.

Dr Khor berkata bahawa NEA juga menerima maklum balas serupa dan menambah: "NEA sudah mengambil tindakan menerusi maklum balas itu dengan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dan pemilik premis untuk memindahkan tong-tong sampah berkenaan, khususnya yang mempunyai tempat abu rokok, ke tempat-tempat yang tidak dilalui orang ramai, jauh daripada kawasan laluan utama."

Beliau juga berkata NEA sudah bekerjasama dengan majlis-majlis bandaran dan pertubuhan-pertubuhan akar umbi untuk mengedarkan makluman di kawasan kejiranan bagi mengingatkan para perokok supaya lebih bertimbang rasa dan tidak merokok di kawasan larangan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita