Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 260 pekerja hijrahan syarikat Shanghai Chong Kee tidak dibayar gaji

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 260 pekerja hijrahan syarikat Shanghai Chong Kee tidak dibayar gaji

Lima pekerja yang mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan di 5 Ang Mo Kio Street 62 pada 18 Okt 2022. (Gambar: singapore_incidents/Instagram)

SINGAPURA: Seramai 268 pekerja hijrahan masih belum dibayar gaji oleh syarikat kontraktor Shanghai Chong Kee. Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang membantu pekerja tersebut.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad memberikan kemas kini itu  pada Rabu (9 Nov) semasa menjawab soalan parlimen mengenai bantahan yang berlaku di luar sebuah bangunan di Ang Mo Kio pada 18 Oktober. 

Dalam kejadian itu, 10 lelaki menghalang pintu masuk dan keluar bangunan tersebut, untuk menuntut gaji mereka sambil memegang papan tanda dengan nama syarikat Shanghai Chong Kee dalam bahasa Mandarin. 

Pekerja-pekerja berkenaan adalah dari Zhengda Corporation - iaitu subkontraktor yang diambil bekerja oleh Shanghai Chong Kee. 

Siasatan kemudian mendapati bahawa 268 pekerja hijrahan tersebut tidak dibayar gaji. 

"Setakat 31 Oktober, Shanghai Chong Kee sudah melunaskan sebahagian bayaran tertunggak dan kami sedang bekerjasama dengan mereka berhubung jadual bayaran selebihnya," kata Encik Zaqy. 

"Justeru, ia bukan kerana majikan dengan sengaja tidak membayar gaji mereka, tetapi kami juga memahami bahawa sewaktu masa yang sukar, bayaran kadangkala ditunda. 

"Saya rasa, dalam sektor binaan, kita semua tahu akan cabaran-cabaran yang dihadapi mereka. Oleh itu, kami cuba menjadi pengantara, mencari jalan terbaik untuk menghuraikan isu tersebut," tambah Encik Zaqy. 

"Lantaran itu, jangan risau, sebahagian besar bayaran sudahpun dilunaskan. Separuh tunggakan gaji mereka sudahpun dibayar. Jadi, kami kini sedang menyelesaikan bakinya dan terdapat pelan ansuran yang sedang diusahakan." 

Meskipun pihak berkuasa tidak dapat memberi maklumat lanjut kerana siasatan polis sedang dijalankan, Encik Zaqy berkata, Pemerintah "memandang serius" apabila seorang pekerja tidak dibayar gaji.

Dalam pada itu, Encik Zaqy turut berkata jumlah tuntutan gaji yang difailkan pekerja hijrahan "merosot dengan ketara" sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

"Secara purata pada 2022, Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) mengendalikan sekitar 160 tuntutan gaji pekerja hijrahan setiap bulan, berbanding 410 pada 2019," tambah Encik Zaqy. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan