Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 26,000 pelajar sudah tempah slot vaksinasi COVID-19: MOE

Lebih 26,000 pelajar sudah mendaftar bagi vaksinasi COVID-19, pada hari pertama tempahan slot dibuka untuk pelajar berusia 12 tahun ke atas, menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih 26,000 pelajar sudah mendaftar bagi vaksinasi COVID-19, pada hari pertama tempahan slot dibuka untuk pelajar berusia 12 tahun ke atas, menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

Sebanyak 52,000 ibu bapa atau pelajar menerima pesanan SMS vaksinasi mengundang pelajar yang menduduki peperiksaan peringkat O, N dan A atau kelayakan setara tahun ini untuk berdaftar bagi suntikan vaksin.

Lebih separuh menempah slot mereka untuk mendapatkan vaksinasi setakat 7 malam Selasa (1 Jun).

Dalam wawancara eksklusif dengan BERITAmediacorp, Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman menekankan, program tersebut adalah suatu langkah besar yang memastikan Singapura dapat mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada yang dijadualkan.

Dr Maliki Osman. (Gambar fail)

26,000 PELAJAR SUDAH TEMPAH SLOT VAKSINASI

Pemerintah mengumumkan pada Isnin (31 Mei) bahawa bermula Khamis (3 Jun), pelajar berusia 12 tahun dan ke atas boleh mula mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Kesemuanya lebih 400,000 pelajar di sekolah dan institut pengajian tinggi termasuk universiti autonomi, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dipelawa mendapatkan vaksinasi, di tengah-tengah lebih banyak kes jangkitan COVID-19 dikesan dalam kalangan kanak-kanak.

Suntikan vaksin dimulakan bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan GCE O, N dan A tahun ini.

Buat masa ini, hanya vaksin Pfizer-BioNTech dibenarkan digunakan bagi golongan berusia 12 tahun hingga 17 tahun di Singapura.

Mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas, pula boleh memilih sama ada vaksin Pfizer atau Moderna.

PROGRAM VAKSINASI PENTING UNTUK CAPAI IMUNITI KELOMPOK

Memberikan perincian lanjut dalam wawancara dengan BERITAmediacorp, Dr Maliki Osman berkongsi bahawa program vaksinasi itu penting demi memastikan sekolah menjadi tempat selamat untuk pelajar.

Lebih penting lagi, dengan adanya program tersebut, usaha mewujudkan imuniti kelompok atau "herd immunity" bagi seluruh negara demi mempercepatkan program vaksinasi dalam memerangi COVID-19.

Imuniti kelompok hanya boleh berlaku jika sekurang-kurangnya 70 penduduk penduduk sesebuah negara mendapatkan vaksinasi.

Dr Maliki memberitahu BERITAmediacorp: "Insya-Allah kita akan dapat mencapai situasi imuniti kelompok. Pada hari ini, secara keseluruhannya, jika kita tidak mengambil kira para penuntut, seperti yang diumumkan, sekitar 25 peratus penduduk Singapura sudah mendapatkan kedua-dua dos dan satu pertiga sudah mendapatkan vaksinasi pertama mereka.

Menurut Dr Maliki, sekitar 50 peratus penduduk Singapura juga dijangka menerima vaksinasi pertama mereka menjelang Julai ini.

(Gambar: MCI)

"Ini tidak termasuk penuntut kita. Jadi kalau kita masukkan 400,000 penuntut kita, kita mungkin akan mencapai tahap imuniti kelompok dengan lebih cepat. Ini penting kerana jika terdapat lebih ramai yang sudah divaksinasi risiko penularan ini akan dapat dicegah dengan lebih berkesan lagi," ujar Dr Maliki.

EMPAT PUSAT VAKSINASI DISEDIAKAN

Demi menampung jumlah besar pelajar yang akan menerima vaksinasi mereka, Dr Maliki berkata empat pusat vaksinasi akan dibangunkan khusus bagi pelajar.

Ia termasuk tiga di kampus Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Tengah, Timur dan Barat.

Pusat keempat pula terletak di Pusat Konvensyen Raffles City.

Dr Maliki berkata: "Kami harap pusat-pusat tambahan ini akan dapat membantu menyelaraskan lagi program vaksinasi untuk penuntut kita. Di pusat-pusat vaksinasi di kampus ITE, kami jangkakan akan dapat memberi suntikan kepada 1,600 pelajar setiap hari dan di Pusat Konvensyen Raffles City, kami jangkakan dapat memberi suntikan kepada 2,000 penuntut setiap hari. Ia sama dengan bilangan yang dapat memberi suntikan di pusat-pusat vaksinasi nasional kita."

JAMINAN KEPADA IBU BAPA VAKSINASI DEMI KESELAMATAN SEMUA

Dr Maliki memberi jaminan bahawa meskipun ada pelajar atau kakitangan sekolah yang baru-baru ini dijangkiti COVID-19, "hampir kesemua kes ini tidak bermula di sekolah - bermakna, tidak ada penularan di dalam sekolah mereka".

Menurut MOE, sejak bermulanya pandemik COVID-19, sekitar 310 pelajar dan kakitangan sekolah dan Insititut Pengajian Tinggi (IHL) diuji positif COVID-19.

Bagi ibu bapa yang masih kurang pasti sama ada anak mereka patut menjalani vaksinasi, berikut nasihat Dr Maliki.

"Ini adalah satu langkah penting untuk memastikan keselamatan dan kemaslahatan anak-anak anda di sekolah kebangsaan. Dengan ini saya harap ibu bapa akan secara proaktif menyahut seruan dan mengambil peluang yang diberikan untuk anak-anak anda. Jika anda mendapat SMS daripada MOE atau MOH untuk membuat tempahan vaksinasi untuk anak-anak anda, jangan ragu-ragu. Buatlah tempahan tersebut secepat mungkin dan bawalah anak anda ke pusat-pusat vaksinasi kebangsaan untuk dapatkan vaksinasi mereka kerana ini adalah untuk keselamatan mereka, keselamatan anda, keselamatan keluarga, dan juga keselamatan masyarakat dan negara kita," ujar Dr Maliki.

Semua pelajar dijangka selesai menjalani vaksinasi sebelum akhir Ogos ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa