Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 25,000 jururawat bakal terima bayaran khas hingga 2.1 bulan gaji asas

Para jururawat NHG, NUHS dan SingHealth antara yang layak bagi pakej bayaran khas itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 25,000 jururawat bakal terima bayaran khas hingga 2.1 bulan gaji asas

Lebih 25,000 jururawat akan menerima Pakej Bayaran Khas Jururawat 2022. (Gambar: NUHS)

SINGAPURA: Lebih 25,000 jururawat akan menerima pakej bayaran khas antara 1.7 dengan 2.1 bulan daripada gaji asas mereka sebagai sebahagian daripada usaha memikat dan mengekalkan bakat kejururawatan.

Demikian menurut Menteri Ong Ye Kung pada Ahad (31 Jul).

Jururawat-jururawat yang berkhidmat dalam kelompok-kelompok jagaan kesihatan awam - Kumpulan Jagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG), Sistem Kesihatan Universiti Kebangsaan (NUHS) dan SingHealth - akan layak bagi pakej berkenaan sebagai bayaran mengekalkan mereka.

Pakej tersebut juga dilanjutkan kepada lagi 2,600 jururawat yang bekerja dalam pertubuhan-pertubuhan jagaan masyarakat yang menggunakan dana awam.

"Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para jururawat kami, terutama sekali semasa tempoh pandemik ini," kata Encik Ong.

"Jadi ini bayaran penting untuk memikat dan mengekalkan bakat-bakat kejururawatan kami. Kami akan menyokong mereka dalam setiap cara yang kami mampu."

1 Ogos adalah Hari Jururawat. Pakej Bayaran Khas Jururawat (NSP) 2022 mengiktiraf kerja keras dan sumbangan para jururawat Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan media berasingan hari ini.

Bayaran tersebut akan dikira berdasarkan gaji asas para jururawat itu setakat 1 Disember 2022.

Ini merangkumi NSP biasa sebanyak 0.5 bulan, yang akan diberikan pada Disember 2022, dan NSP yang dipertingkat antara 1.2 dengan 1.6 bulan, yang akan dibahagikan dengan rata kepada dua pembayaran, yang akan diberikan pada Mac 2023 dan September 2023 kepada para jururawat yang kekal berkhidmat secara berterusan dengan pertubuhan mereka itu.

"Sedang penduduk kita kian menua, permintaan bagi jagaan kesihatan dan tenaga manusia akan terus meningkat," menurut MOH.

"MOH komited membangunkan tunggak tempatan tenaga kerja kejururawatan bagi memenuhi keperluan masa depan kami dengan meningkatkan daya tarikan bidang kejururawatan dan memperluaskan rancangan latihan kejururawatan tempatan bagi kedua-dua graduan dan kemasukan pertengahan kerjaya."

Kelompok-kelompok jagaan kesihatan awam akan memberi perincian lanjut berhubung NSP dengan kakitangan kejururawatan mereka dalam institusi-institusi jagaan kesihatan awam.

Agensi Jagaan Bersepadu (AIC) akan membuat perbincangan susulan dengan pertubuhan-pertubuhan jagaan masyarakat yang menggunakan dana awam mengenai perincian bayaran itu bagi sektor mereka.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan