Lebih 2,500 isi rumah raih manfaat Bonus Perumahan untuk Warga Emas sejak 2013
Skim itu akan diperluaskan untuk meliputi juga warga emas yang memiliki hartanah privet dengan nilai tahunan antara S$21,000 dengan S$31,000.
Dengan kriteria yang dikemas kini itu, lebih daripada 15,000 warga emas akan layak bagi skim tersebut.
Menteri Negara bagi Pembangunan Negara (MND) Dr Faishal Ibrahim menjangka jumlah itu akan meningkat lagi dengan tawaran bonus tunai lebih tinggi yang ditawarkan untuk warga emas serta had nilai tahunan hartanah yang lebih tinggi.
Dr Faishal mengupas lebih mendalam lagi berkenaan ucapan yang disampaikannya semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi MND bersama wartawan Nurhelmy Hakim.
"Bonus perumahan bagi warga emas ini adalah satu wadah bagi kita untuk memberi ruang bagi warga emas untuk mendapatkan pendapatan tambahan kepada mereka pada waktu persaraan mereka. Ini penting kerana apabila kita bersara, kita mungkin tidak bekerja lagi tapi kita ada aset-aset yang telah dibeli pada masa lampau yang mungkin mereka boleh berpindah kepada rumah yang lebih kecil. 3 bilik atau yang lebih kecil dan kerana ramai di kalangan mereka ini anak-anak semua sudah pindah dan mempunyai rumah tangga yang lain. Jadi mereka mahu 'downgrade' ke rumah kecil," jelas Dr Faishal.
Buat masa ini, hanya warga emas yang memiliki flat HDB atau kediaman privet dengan Nilai Tahunan (AV) sebanyak S$21,000 atau kurang layak menerima SHB.
Dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi MND, Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee berkata langkah meluaskan kriteria SHB itu adalah bagi menyokong lebih ramai warga emas yang tinggal di hartanah privet bernilai rendah.
Dr Faishal berkata: "Kami ingin menjadikan SHB lebih mudah diakses oleh warga emas yang memiliki kediaman privet bagi membantu mereka memanfaatkan nilai aset mereka dan untuk menyokong mereka dengan lebih baik dalam memastikan mereka mempunyai pendapatan persaraan yang mencukupi. Ini supaya mereka boleh mendapat kehidupan yang lebih baik pada apabila mereka bersara."
Namun, dengan penambahan kepada jumlah AV tersebut, golongan warga emas itu akan menerima bonus tunai SHB yang lebih rendah.
Dr Faishal menjelaskan ia kerana mereka dapat memperoleh hasil yang lebih tinggi daripada penyesuaian saiz kediaman mereka, atau right-sizing.
"Dengan langkah ini, lebih daripada 15,000 warga emas tambahan kini layak untuk SHB. Secara keseluruhannya, SHB kini akan meliputi lebih 3 dalam 4 kediaman privet," jelas Dr Faishal.
Mulai 1 Disember tahun ini, bonus tunai tambahan sebanyak S$10,000 juga akan diberikan kepada warga emas yang berpindah ke flat HDB 2-bilik atau lebih kecil.
Dr Faishal berkata: "Oleh kerana harga flat 2-bilik atau lebih kecil secara amnya lebih rendah, warga emas yang beralih ke flat 2-bilik atau lebih kecil akan mendapat hasil yang lebih tinggi berbanding membeli flat yang lebih besar. Bonus tunai tambahan ini akan menambah hasil mereka dan pendapatan persaraan."
SOKONGAN KEWANGAN FRESH START NAIK DARIPADA $50,000 KEPADA $75,000
Dalam perbahasan bagi Jawatankuasa Peruntukan bagi MND, Dr Faishal turut mendedahkan bahawa Geran Perumahan Permulaan Baharu atau Fresh Start juga akan dinaikkan sebanyak 50 peratus.
Geran itu akan dinaikkan daripada $50,000 kepada $75,000 bagi keluarga kali kedua yang mempunyai anak yang tinggal di flat sewa awam.
Skim Fresh Start bertujuan membantu golongan tersebut untuk memiliki rumah mereka sendiri.
Mereka boleh menerima geran Fresh Start untuk membeli flat baharu 2-bilik Flexi atau 3 bilik Standard dengan tempoh pajakan yang lebih pendek.
Untuk menyokong lebih banyak keluarga, Dr Faishal juga berkata bahawa skim tersebut akan diperluaskan kepada keluarga kali pertama yang mempunyai anak yang tinggal di flat sewa awam.
"Keluarga-keluarga ini biasanya menghadapi cabaran yang lebih besar, seperti mengatasi masalah kesihatan atau membesarkan anak sebagai ibu bapa tunggal. Oleh itu, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk membeli flat dengan pajakan penuh 99 tahun walaupun dengan sokongan menyeluruh yang sedia ada untuk pembeli rumah kali pertama," jelas Dr Faishal.
Keluarga-keluarga itu juga akan dapat memanfaatkan Geran Perumahan CPF Dipertingkatkan (EHG) sehingga S$120,000 untuk membeli flat mereka.
Dr Faishal berkata: "Ia akan memberikan lebih banyak peluang kepada mereka yang tinggal rumah sewa yang yang mempunyai aspirasi untuk memiliki rumah, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak kecil. Dengan adanya peluang ini, ia akan memberikan ruang yang lebih baik bagi keluarga dan anak-anak mereka untuk memulakan kehidupan baharu."
Keluarga-keluarga kali pertama yang layak boleh menempah flat di bawah Skim Fresh Start bermula dari latihan jualan BTO pertama pada tahun 2026.
Dr Faishal juga mendedahkan bahawa lebih daripada 700 keluarga yang menyewa flat awam telah berpindah ke rumah baharu pada tahun lalu.
Beliau menerangkan bahawa ia hasil sokongan kukuh yang diterima keluarga-keluarga.
Dr Faishal menjelaskan bahawa keluarga-keluarga yang lagi bagi Skim Fresh Start menerima sokongan daripada para pembimbing atau 'life coach' menerusi program ComLink+.
"Mereka akan memberikan tips bagaimana untuk melayari kehidupan mereka dan bagaimana mereka boleh melakukan rancangan kewangan, serta bagaimana mereka boleh memantapkan pekerjaan mereka supaya apabila mereka memiliki rumah, mereka sudah bersedia dan boleh memantapkan perjalanan dalam pemilikan rumah," ujar Dr Faishal.
Dr Faishal juga menerangkan tentang penglibatan Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah HDB di mana para pegawainya membimbing keluarga mengenai perbelanjaan perumahan.
Para pegawai juga akan membantu keluarga menjalani proses membeli flat dari peringkat permohonan sehingga mengambil kunci rumah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.