Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 2,500 banduan Muslim raih manfaat daripada Ceramah Motivasi Mufti sejak diperkenalkan pada 2020

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 2,500 banduan Muslim telah meraih manfaat daripada Ceramah Motivasi Mufti sejak program ini diperkenalkan lima tahun lalu.

Program hasil kerjasama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerusi inisiatif FITRAH itu terus memberi impak positif kepada para peserta.

Antara yang meraih manfaat kali ini ialah 'Azhar', bukan nama sebenar.

Dia mengaku hilang arah selepas kehilangan ibu tercinta pada 2013,.

'Azhar' tersilap langkah dan ditangkap pada 2018 atas kesalahan pemerasan dan penipuan identiti.

Dia telah menjalani hukuman penjara sejak 2022.

"Bila ibu saya meninggal, saya rasa seperti hilang arah. Tiada tempat untuk berkongsi kesedihan, dan itu membawa saya kepada kesilapan ini. Saya tidak bangga, tetapi saya percaya ada hikmah di sebaliknya. Semoga ini menjadi pengajaran untuk saya menjadi insan yang lebih baik, Insya-Allah," kongsi 'Azhar' kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

'AZHAR' IKUTI PROGRAM SARJANA MUDA DI PENJARA

Dengan tekad untuk mengubah nasib, 'Azhar', 34 tahun, kini mengikuti program Sarjana Muda dalam Pengurusan Rantaian Bekalan dan Logistik di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) sejak tahun lalu.

"Sebelum saya masuk penjara, saya sudah berniat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Keselamatan Siber. Saya tahu saya akan masuk, jadi saya tidak mahu pelajaran saya tergendala.

"Saya tiada pengalaman dalam bidang logistik, tetapi saya mencabar diri sendiri. Jika bukan sekarang, bila lagi? Semua ini demi masa depan saya dan keluarga. Semoga ia menjadi perjalanan yang lebih baik," jelasnya.

'Azhar' juga berharap dapat menghapuskan stigma terhadap bekas banduan dalam masyarakat.

"Apabila saya keluar nanti, matlamat saya adalah untuk kembali kepada keluarga dan membayar kembali masa yang hilang. Pada masa yang sama, saya mahu membina kerjaya yang baik.

"Di luar sana, ada stigma bahawa bekas banduan susah mendapat pekerjaan. Saya harap stigma ini dapat dikurangkan dan orang seperti kami diberikan peluang kedua untuk kembali kepada masyarakat, berbuat baik, dan memberi sumbangan," tambahnya.

'AFIQ TINGKATKAN DIRI DI PENJARA

‘Afiq’, 45 tahun, yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah sejak Februari 2024, juga tidak mahu mensia-siakan masa yang ada.

Bekas jurutera audio dengan pengalaman lebih 20 tahun itu kini mengikuti program Diploma Media dalam Penghasilan dan Pengurusan Kandungan, anjuran Akademi Media Singapura menerusi inisiatif sekolah penjara.

Selepas tamat program tersebut, 'Afiq' kini menyumbang kepakarannya sebagai editor video di Hab Multimedia Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

"Oleh kerana penjara menawarkan kursus yang menarik minat saya, saya dapat mempertingkatkan diri dan mempelajari kemahiran baru. Orang kata, masa berlalu lebih cepat dengan cara ini," kongsi 'Afiq' kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Di penjara, saya membantu menyunting untuk News Beyond Bars, buletin berita untuk pesalah, dan juga menghasilkan Radio Beyond Bars, sebuah podcast untuk pesalah di dalam. Kami juga membuat sari kata dan penterjemahan untuk beberapa klip video tertentu," tambahnya.

Dia turut berbesar hati dengan sokongan positif keluarga terhadap bidang yang diceburinya.

"Saya melakukan yang terbaik, supaya apabila saya dibebaskan, saya memiliki kemahiran dan pengalaman untuk memulakan sesuatu yang baharu di luar. Alhamdulillah, saya menerima sokongan penuh daripada keluarga," ujarnya

CERAMAH MOTIVASI MUFTI KEMBALI BUAT KALI KELIMA

Mereka dalam kalangan 750 banduan yang meraih manfaat daripada sesi Ceramah Motivasi Mufti yang dijalankan secara hibrid di Kompleks Penjara Tanah Merah pada Rabu (7 Mei).

Sesi kelima itu disertai 34 banduan secara fizikal, manakala selebihnya mengikuti secara dalam talian dari institusi penjara lain serta rumah peralihan Jamiyah, Pertapis dan Rise Above.

"Terdapat peningkatan sedikit di mana jumlah peserta meningkat dan pada waktu yang sama, terdapat juga penyertaan penghuni-penghuni daripada rumah kebajikan yang lain melalui wadah Zoom, sebagai contoh daripada Jamiyah, Pertapis dan Rise Above," kongsi Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Ceramah bertajuk "Memahami Takdir dan Memperkukuh Iman" yang disampaikan Ustaz Dr Izal turut memberi bimbingan kepada para pesalah agar mereka tidak merasa terpinggir daripada masyarakat.

"Ia juga merupakan peluang keemasan bagi Pejabat Mufti untuk mendekati para pesalah, dan juga para penghuni ini supaya mereka dapat memahami bagaimana masyarakat tidak meminggirkan mereka. Dan pada waktu yang sama juga, untuk memahami cabaran yang mereka lalui dan juga Insya-Allah diharapkan ia dapat mencetuskan sedikit harapan bagi mereka apabila mereka keluar kelak," ujar Ustaz Dr Izal.

Diharapkan sesi-sesi itu dapat memberi para banduan pemahaman agama yang lebih mendalam serta ruang untuk refleksi peribadi, demi menyokong proses pemulihan dan pembentukan semula jati diri mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan