Skip to main content

Singapura

Lebih 250 jemaah tunai solat tarawih di qaryah pertama seumpamanya di Tengah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Feb 2026 05:06PM Dikemas Kini : 28 Feb 2026 08:40PM
SINGAPURA: Lebih 250 penduduk Tengah membanjiri dewan serbaguna 238 Tengah Garden Walk pada Rabu malam (18 Feb) bagi menunaikan solat tarawih pertama pada bulan Ramadan ini.

Ruang itu menjadi lokasi bagi qaryah yang pertama seumpamanya ditubuhkan di estet Tengah.

Lantas, meskipun belum ada sebuah masjid di estet tersebut, semangat Ramadan tetap mekar untuk para penduduk estet itu.
Related article image
PENDUDUK BERSYUKUR PERMINTAAN DIPENUHI

Ruang tersebut antara lain disediakan untuk memberi kemudahan bagi mereka yang berdepan cabaran untuk bergerak.

Ketika ditanya mengapa dewan serbaguna itu dipilih, Ketua Pentadbiran dan Sekretariat Masjid Al-Khair, Mohamed Syukri Mohamed Sani menjelaskan bahawa lokasi tersebut sudah dipenuhi penduduk di Tengah.

"Kami ingin memilih lokasi di mana kami dapat mendekati semua rumah-rumah di Tengah yang sudah dihuni para penduduk. Kalau kita lihat di tempat-tempat lain, memang berbeza. Ada yang mempunyai pavilion yang lebih luas. Tetapi buat masa ini, dalam perancangan kami cuma mempunyai dewan ini sahaja. Jadi mungkin tak dapat nak menampung terlalu terlalu ramai jemaah," ujar Encik Syukri.

Meskipun saiznya tidak terlalu besar, langkah menubuhkan qaryah itu amat dialu-alukan para penduduk Tengah yang tinggal berdekatan, terutama sekali kerana dapat menjimat masa perjalanan.
Related article image
Antaranya, Encik Ramli Johari, yang merupakan penduduk baharu di estet itu.

"Saya berada di sini selama dua bulan. Kami memohon untuk adakan ruang untuk solat tarawih, dan Alhamdulillah ia diterima," kata beliau.

Dengan adanya qaryah baharu di ruang dewan serba guna itu, ia menjimatkan masa buat Encik Ramli.

Biasanya, beliau sering ke Masjid Al-Mukminin untuk menunaikan solat dan perlu mengambil masa lebih 30 minit untuk ke sana jika menggunakan pengangkutan awam.

Bagi Encik Abdul Alim A Rahman pula, beliau kini hanya perlu berjalan kaki selama 10 minit untuk ke dewan serbaguna tersebut.

"Saya rasa bahagia kerana ia lebih dekat, dan saya tidak perlu pergi jauh untuk ke masjid. Jika ada orang lebih tua yang tidak boleh berjalan lama, kemudahan ini lebih dekat," ujar beliau.

Sebelum ini, beliau perlu menaiki bas selama 30 minit untuk ke Masjid Al-Khair bagi sesi solat tarawih.

Sambutan tarawih malam pertama juga memberangsangkan di qaryah tersebut, sehinggakan para relawan perlu membentangkan alas tambahan di luar dewan untuk menampung para jemaah menunaikan solat.
Related article image
AMBIL PENDEKATAN QAYRYAHKITA-TENGAH BAGI KENALI KEPERLUAN KEAGAMAAN PENDUDUK

Sesi solat tarawih diadakan di qaryah itu yang dikendalikan oleh Masjid Al-Khair pada empat malam pertama Ramadan, dan kemudian pada hari-hari tertentu.

Misalnya, solat tarawih hanya akan diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu pada bulan Mac.

Penubuhan qaryah itu juga menurut Encik Syukri, berkonsepkan 'masjid sebelum masjid'.

Ini memandangkan masjid di estet perumahan itu dijangka siap hanya pada awal 2030-an.

Ketua Pentadbiran dan Sekretariat Masjid Al-Khair, Mohamed Syukri Sani, berkata: "Untuk di kawasan Tengah, Masjid-Al-Khair sedang menguji pendekatan baharu yang dinamakan QaryahKITA-Tengah. Ini adalah satu inisiatif yang baru saja bermula tahun ini untuk kita mendekati dan mengenal para penduduk di Tengah. Jadi khas untuk membina satu ekosistem untuk mengenali keperluan keagamaan para penduduk di Tengah serta membina satu budaya masjid sebelum adanya masjid yang fizikal sebenar."

Persiapan untuk menawarkan ruang solat di dewan serba guna itu bermula sejak beberapa bulan lalu, dengan maklum balas penduduk diambil kira.

"Kami juga menerima maklum balas daripada para penduduk Tengah yang ingin menginginkan sesi solat tarawih. Masjid Al-Khair melihat ini sebagai satu peluang untuk kita mengembangkan inisiatif QaryahKITA-Tengah dan menyediakan perkakas logistik dan juga sistem audio dan sebagainya untuk kita melakukan seperti mana yang diinginkan oleh para penduduk," jelas Encik Syukri.

Ruang tersebut juga akan digunakan untuk melaksanakan solat Aidilfitri nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita