Lebih 247,000 rakyat S'pura manfaatkan kredit SkillsFuture pada 2021
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Lebih 247,000 rakyat Singapura menggunakan kredit SkillsFuture untuk menajamkan kemahiran mereka pada tahun lalu, naik 31 peratus daripada 188,000 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Perangkaan tersebut merupakan pengambilan tahunan tertinggi sejak gerakan pembelajaran sepanjang hayat itu dilancarkan pada 2015, menurut SkillsFuture Singapore (SSG) pada Selasa (8 Feb).
Secara keseluruhannya, 660,000 individu menajamkan kemahiran mereka pada 2021 melalui program-program yang disokong oleh SSG.
Jumlah itu meningkat berbanding 465,000 individu pada 2018, 500,000 pada 2019 dan 540,000 pada 2020.
KREDIT SKILLSFUTURE
Menurut Encik Tan Kok Yam, ketua pegawai eksekutif SSG, pandemik COVID-19 merangsang rakyat tempatan untuk menajamkan kemahiran mereka dan memanfaatkan sepenuhnya kredit SkillsFuture.
Rakyat Singapura yang berusia 25 tahun ke atas menerima S$500 dalam bentuk kredit SkillsFuture pada 2016.
Pada 2020, pemerintah memberikan rakyat Singapura yang berusia 25 tahun ke atas tokokan sekali saja bernilai S$500 yang bakal berakhir pada hujung 2025. Kredit itu boleh digunakan untuk membayar yuran bagi pelbagai khursus.
Walaupun penyertaan program yang disokong oleh SSG sudah meningkat dengan mantap, masih terdapat sebahagian besar penduduk yang belum mengorak langkah untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Para majikan harus melabur dalam pembelajaran di tempat kerja dan memenuhi keperluan latihan pekerja mereka.
Bagi pihak pekerja pula, mereka akan dapat meraih manfaat daripada kemahiran yang ditimba. "Rakyat Singapura sangat bijak. Mereka tahu menilai sama ada sesuatu perkara itu baik ataupun tidak. Dengan itu, mereka akan cuba menyesuaikan diri," kata Encik Tan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.