Skip to main content

Singapura

Lebih 24,000 penduduk sudah daftarkan diri bagi SG Lebih Sihat dengan doktor keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata strategi jagaan kesihatan pencegahan yang dilaksanakan Singapura kini mencatat kemajuan baik yang lebih daripada jangkaan.

Sehingga awal bulan Mei, lebih 24,000 penduduk berusia 40 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik, sudah mendaftarkan diri bagi program SG Lebih Sihat.

Mereka berdaftar dengan seorang doktor keluarga yang menjadi barisan pertama jagaan kesihatan mereka untuk sepanjang hayat.

Skim itu akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai nanti.

Encik Ong memberi kemas kini tersebut semasa acara pembukaan sebuah pusat pemeriksaan kesihatan baru yang akan memainkan peranan penting dalam program SG Lebih Sihat.

Pusat pemeriksaan baru Fullerton Health di Novena, misalnya, mampu memeriksa sekitar 200 pesakit setiap hari, dengan matlamat untuk mengesan masalah kesihatan seawal mungkin.

Di bawah program SG Lebih Sihat, para pesakit yang terdaftar dapat mendapatkan pemeriksaan percuma bagi tiga masalah kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol tinggi, serta jenis barah yang mudah dikesan.

Lantaran itu, pusat pemeriksaan baru Fullerton Health itu akan bantu ke arah tujuan tersebut.

LEBIH 60% KLINIK GP SERTAI SG LEBIH SIHAT

Sejauh ini, dua pertiga daripada 1,200 klinik GP di serata negara sudah menyertai SG Lebih Sihat.

Sekitar 20 klinik Fullerton Health sudah terdaftar di bawah SG Lebih Sihat.

Encik Ong turut menekankan peri pentingnya jagaan pencegahan, terutama adanya hubungan baik antara pesakit dan doktor.

Ini lebih-lebih lagi sedang penduduk Singapura semakin menua, dengan sekitar 25 peratus penduduk Singapura yang berusia 40 ke atas menghadapi sekurang-kurangnya satu penyakit kronik.

Encik Ong menggesa kumpulan-kumpulan perubatan supaya bekerja rapat dengan para majikan untuk memastikan para pekerja mereka kekal sihat.
Sumber : CNA/IA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita