Lebih 24,000 kucing peliharaan sudah dipasang mikrocip
SINGAPURA: Lebih 24,000 kucing peliharaan telah dipasang dengan mikrocip sejak skim pelesenan kucing peliharaan dilancarkan oleh Agensi Kesihatan Haiwan dan Veterinar (AVS) pada September 2024.
Daripada jumlah tersebut, sekitar 97 peratus kucing telah dikembirikan, menjadikan usaha kawalan populasi kucing lebih berkesan.
Selain itu, lebih 24,000 orang telah mengikuti kursus online yang berkaitan dengan pemilikan haiwan peliharaan, menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pemilik haiwan.
Demikian kemas kini terbaru AVS dalam satu kenyataan media pada Sabtu (8 Feb).

AVS menggalakkan para pemilik kucing untuk mendaftarkan lesen mereka lebih awal, bagi memudahkan pengesanan dan menjaga kebajikan haiwan peliharaan tersebut.
LEBIH 30 ACARA PEMASANGAN MIKROCIP SECARA PERCUMA BAKAL DIADAKAN
Pada tahun lalu, 2,780 kucing peliharaan telah dipasang dengan mikrocip oleh AVS di 11 acara berkaitan haiwan peliharaan dan kumpulan kebajikan haiwan.
Bagi memenuhi permintaan tinggi untuk khidmat pemasangan mikrocip secara percuma, AVS merancang untuk melancarkan lebih 30 acara pemasangan mikrocip percuma.

Cik Maizurah Ithnin, 32 tahun adalah antara 200 pemilik kucing yang memanfaatkan pemasangan mikrocip percuma di Sekolah Menengah Bukit Merah pada hari ini (8 Feb).
"Saya rasa ia adalah salah satu proses yang harus dibuat oleh para pemilik kucing sebab mikrochip ini memudahkan pemilik kucing untuk identifikasikan kucing kita. Jikalau kucing kita lari ataupun hilang, kita boleh mencari kucing kita dengan mudah," ujar Cik Maizurah kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
PEMILIK HAIWAN PELIHARAAN DIGESA LEBIH PROAKTIF
Dalam pada itu, Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara, Tan Kiat How, menegaskan kepentingan sikap tanggungjawab dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan.
Beliau menggalakkan pemilik haiwan peliharaan untuk mengambil langkah proaktif dalam memastikan kebajikan kucing-kucing mereka terjamin.
"Kami berharap untuk mempunyai lebih ramai rakan kongsi bersama kami, contohnya, sekolah-sekolah, sukarelawan, dan klinik veterinar yang dapat menyokong kami dalam usaha ini. Kami membuat kemajuan yang baik dan berharap mendapat sokongan daripada semua rakan kongsi kami," kata Encik Tan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.