Skip to main content

Singapura

Lebih 240 belia tamat Youth Corps, digalak terus menyumbang kepada masyarakat

Dahulunya seorang yang agak pemalu, D'eemeldah Samsuri tidak pernah membayangkan dirinya mampu tampil berani dan berinteraksi dengan orang lain, apatah lagi memimpin dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 30 Mar 2026 07:58PM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 08:34PM
SINGAPURA: Dahulunya seorang yang agak pemalu, D'eemeldah Samsuri tidak pernah membayangkan dirinya mampu tampil berani dan berinteraksi dengan orang lain, apatah lagi memimpin dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Namun penglibatannya dalam Program Kepimpinan Pasukan Belia (YCLP) sejak 2024 telah membentuk keyakinan diri D’eemeldah, selain membuka peluang untuk beliau membantu kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan melalui inisiatif KidsCount @ Woodlands.

Bersama rakan-rakan lain, dia membimbing kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun memperkukuh asas Matematik menerusi aktiviti interaktif.

Berkat usahanya itu, dia menjadi antara lebih 240 pemimpin belia yang diiktiraf dalam satu majlis tamat program anjuran bersama Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan Pasukan Belia Singapura di Gardens by the Bay pada Sabtu (28 Mac).

Majlis tersebut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), David Neo dan Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Rahayu Mahzam.

KESUKARELAWANAN SEBAGAI WADAH MEMBINA KEYAKINAN DIRI

Semasa ditemui Berita Mediacorp sebelum majlis tersebut, D’eemeldah, 19 tahun, berkata: “Saya diberi peluang untuk membina keyakinan saya dan mengambil tanggungjawab lebih banyak dan juga berinteraksi dengan orang lain. Jadi, pengalaman itu juga membantu saya untuk keluar daripada zon selesa saya dan beranikan diri untuk melibatkan diri.”

Meski berdepan cabaran termasuk mengenal pasti pendekatan komunikasi yang berkesan dengan kanak-kanak, dia tetap komited memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan - satu prinsip dipegang teguh oleh dirinya.

Bersama rakan sepasukan yang sehaluan dalam usaha menyumbang kepada masyarakat, mereka bukan sahaja dapat bekerjasama dengan baik, malah lebih memahami keperluan kanak-kanak serta cabaran yang dihadapi oleh masyarakat secara meluas.

“Secara amnya, ia (kerja kemasyarakatan) membantu membina empati, keterangkuman dan memperkukuh masyarakat,” ujar pelajar tahun ketiga Institut Pendidikan Teknikal (Tengah) dalam jurusan Perkhidmatan Penumpang itu.
Related article image
D'eemeldah Samsuri, 19 tahun, membimbing kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun memperkukuh asas Matematik melalui inisiatif KidsCount @ Woodlands di bawah Program Kepimpinan Pasukan Belia (YCLP) sejak 2024. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Bagi dirinya, golongan belia menjadi antara tunggak utama dalam usaha tersebut.

“Merekalah masa hadapan dan apa yang mereka lakukan sekarang boleh membentuk masyarakat nanti. Mereka juga boleh menjadi lebih prihatin dan bertanggungjawab, sekali gus menjadi pemimpin yang lebih baik,” jelas D’eemeldah.

Kisah gadis itu turut diketengahkan dalam ucapan Encik Neo sebagai contoh perkembangan positif belia melalui penglibatan dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

"Hal ini lebih signifikan dalam konteks dunia yang semakin tidak menentu, dengan cabaran seperti perpecahan dalam masyarakat, perkembangan teknologi yang pesat, krisis iklim, peningkatan kos sara hidup serta pengaruh negatif media sosial," kata Encik Neo.

Namun di sebalik cabaran tersebut, beliau berkata golongan belia terus terserlah melalui keberanian mereka mengharungi dugaan dalam usaha menyokong dan menyumbang kepada masyarakat.

PELUANG DAN SOKONGAN DIPERLUAS UNTUK BELIA TERUS MENYUMBANG

Sehubungan itu, Encik Neo menegaskan bahawa golongan belia akan terus diperkasa. Ini dengan Singapura terus memperluas peluang bagi mereka menyumbang kepada masyarakat di bawah Pelan Belia SG.

Ini termasuk inisiatif akar umbi, projek masyarakat atau usaha di platform dalam talian.

“Kami terus memperkukuh ekosistem sokongan kesihatan mental, daripada latihan sokongan rakan sebaya dan perkhidmatan berasaskan masyarakat, sehingga kempen yang menangani stigma serta menggalakkan individu untuk mendapatkan bantuan," kata Encik Neo.

“Kami juga akan terus melabur dalam bidang seni, sukan dan kesukarelawanan, bukan kerana ia sekadar tambahan tetapi kerana inilah wadah penting untuk membina komuniti, keyakinan dan tujuan dalam diri belia,” tambah beliau.

TEMUI TUJUAN MELALUI SUKARELA

Apa yang diketengahkan Encik Neo itu turut jelas dilihat dalam perjalanan seorang lagi belia, Muhammad Solihin Supardi, yang menemui keyakinan dan tujuan melalui kerja sukarela.

“Saya tahu saya tidak mahu berhenti di sini. Apa sahaja peluang untuk saya melakukan lebih, saya akan ambil dan tidak akan menolaknya,” ujar Solihin, 23 tahun.
 
Related article image
Pelajar tahun dua Politeknik Republik (RP) dalam jurusan Reka Bentuk Kejuruteraan dan Perniagaan, Muhammad Solihin Supardi, 23 tahun, kini berhasrat untuk kekal menjalani kerja sukarela. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Bermula secara tidak dirancang, minatnya terhadap kerja sukarela kini berkembang menjadi satu komitmen yang berterusan.

Sebelum ini, pelajar tahun dua Politeknik Republik (RP) dalam jurusan Reka Bentuk Kejuruteraan dan Perniagaan itu terlibat dalam pelbagai projek termasuk bersama warga emas serta Projek Pembelajaran Berasaskan Khidmat Antarabangsa (ISLP) di Batam, di mana beliau mengajar konsep asas kejuruteraan dan kebersihan kepada kanak-kanak dalam komuniti setempat.

Dia juga bersama rakan-rakannya ke Skudai, Malaysia untuk berkongsi ilmu dan konsep kejuruteraan serta pengekodan dengan kanak-kanak di sana.

Pada tahun 2025 sahaja, lebih 10,000 belia menyumbang lebih 75,000 jam khidmat, memberi manfaat kepada lebih 6,500 individu, jumlah tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dilancarkan pada 2014 di bawah Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Pasukan Belia Singapura menjadi platform untuk menggalak kesukarelawanan dalam kalangan belia serta membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu.
Sumber : BERITA Mediacorp/BK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita