Skip to main content

Singapura

Lebih 235,000 orang seberang tambak melalui Woodlands, Tuas pada 6 April; catat rekod sejak sempadan dibuka semula

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 235,000 pelawat melalui pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas, menuju ke seberang tambak, sehari sebelum cuti panjang hujung minggu Good Friday. Ia sekali gus menjadikannya jumlah trafik keluar harian tertinggi dicatatkan sejak sempadan darat dengan Malaysia dibuka semula sepenuhnya pada April lalu selepas ditutup akibat COVID-19.

Dalam satu kenyataan pada Rabu (12 Apr), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan bahawa hampir 1.4 juta pelawat menggunakan kedua-dua pusat pemeriksaan itu dari 6 sehingga 9 April.

Lonjakan trafik itu bermula pada petang Khamis lalu (6 Apr), yang menyebabkan kesesakan teruk di pusat pemeriksaan serta lalu lintas dari Malaysia.

Semasa kesesakan trafik itu, ramai pelawat berkongsi di media sosial tentang tempoh masa menunggu yang lama untuk melepasi pusat imigresen.

ICA sebelum ini telah mengeluarkan makluman perjalanan pada 30 Mac menasihati orang ramai supaya menangguhkan rancangan perjalanan tidak penting, dengan jangkaan kesesakan teruk di kedua-dua pusat pemeriksaan menjelang cuti hujung minggu Good Friday dan perayaan Qing Ming.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, ICA menarik perhatian bahawa lebih sejuta pelawat melintasi pusat pemeriksaan darat pada hujung minggu Good Friday pada tahun 2019, dan ia kemudian menasihatkan pelawat agar menangguhkan perjalanan yang tidak penting untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan.

Bagi menguruskan kesesakan lalu lintas dan memudahkan pergerakan pelawat di pusat-pusat pemeriksaan pada hujung minggu baru-baru ini, ICA menyatakan ia telah melaksanakan beberapa langkah, termasuk bekerjasama dengan LTA dan penyedia khidmat bas rentas sempadan untuk menjadualkan lebih banyak khidmat bas.

Ia juga mengerahkan lebih ramai pegawai termasuk pada 6 April serta memperkenalkan inisiatif pelepasan automatik pada Januari, dan memberi perkembangan terkini laporan trafik menerusi stesen radio dan laman Facebooknya.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita