Lebih 220 kakitangan terima pengiktirafan atas amalan baik di Anugerah Keselamatan Hotel
Lebih 220 kakitangan hotel diiktiraf dengan Sijil Pujian atas amalan-amalan baik mereka dalam Anugerah Keselamatan Hotel 2021.
SINGAPURA: Lebih 220 kakitangan hotel diiktiraf dengan Sijil Pujian atas amalan-amalan baik mereka dalam Anugerah Keselamatan Hotel 2021.
Daripada jumlah tersebut, 20 kakitangan diberi Sebutan Khas atas sifat berwaspada, berani atau jujur mereka sewaktu bertugas, dalam Sidang Keselamatan Hotel hari ini (28 Okt).
SELAMATKAN TETAMU HOTEL DARIPADA KEBAKARAN
Antara penerima pengiktirafan tersebut adalah Encik Yahaya Abdul Rahman.
Pada pagi 8 Februari lalu, Encik Yahaya yang bertugas sebagai seorang penolong pengurus keselamatan sedang menguruskan beberapa dokumen apabila dia dikejutkan dengan bunyi penggera kebakaran.
(Gambar: Yahaya Abdul Rahman)
Setibanya di lokasi kejadian, dia terlihat kepulan asap keluar dari sebuah bilik hotel di tempat dia bekerja iaitu di Jen Singapore Tanglin by Shangri-La.
Setelah diperiksa, dia mendapati seorang tetamu lelaki cuba untuk membunuh diri.
Tanpa berlengah, dia cuba membuka pintu bilik, meminta tetamu itu beralih ke tepi dengan tenang, sebelum memadam api yang sedang marak dari arah belakang pintu dan katil.
Atas keberaniannya itu, hari ini Encik Yahaya yang sudah berkhidmat dalam bidang keselamatan hotel selama sekitar tujuh tahun, diiktiraf dengan Sebutan Khas bagi Anugerah Keberanian di Persidangan Keselamatan Hotel 2021.
(Gambar: Yahaya Abdul Rahman)
"Nyawa orang berada di dalam tangan saya jadi saya pun tak boleh menjejas nyawa dia, jadi saya selamatkan nyawa dia dulu daripada saya selamatkan diri saya ini tapi Alhamdulillah di penghujungnya kedua-dua kami dapat keluar dengan selamat.
"Kalau saya tidak beri reaksi dengan cepat mungkin akan menjejas tetamu lain dan staf yang berada di situ, jadi saya berasa amat tenang dan lega," kata Encik Yahaya, 29 tahun.
(Gambar: Yahaya Abdul Rahman)
Encik Yahaya merupakan salah seorang daripada 20 kakitangan hotel yang diberi Sebutan Khas bagi tiga kategori iaitu Anugerah Kejujuran, Anugerah Keberanian dan Anugerah Kewaspadaan.
Para penerima Sebutan Khas juga akan diberi plak daripada Persatuan Hotel Singapura (SHA).
PULANGKAN DOMPET BERISI LEBIH $1,000
Bagi ejen perkhidmatan hotel Muhammad Syaffry S Rozaini pula, dia menerima Sebutan Khas bagi Anugerah Kejujuran.
Syaffry yang berkhidmat di JW Marriott Singapore South Beach terjumpa dompet berisi lebih S$1,000 di kawasan luar hotel.
(Gambar: JW Marriott Singapore South Beach)
Dia kemudian melaporkan insiden itu dan dompet tersebut berjaya dipulangkan kepada pemilik asalnya.
"Saya harus mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya sebab mereka telah mendidik prinsip ini dalam hidup saya untuk menjadi seseorang yang bekerja dengan ikhlas, jujur dan amanah.
(Gambar: JW Marriott Singapore South Beach)
"Saya diberikan dan juga dididik mereka dengan cara di mana kita tidak perlu berasa penat untuk melakukan kebaikan," ujar Syaffry.
Syaffry, 23 tahun, yang kini di bawah Program Diploma Belajar sambil Bekerja di Kolej Barat ITE berharap anugerah ini dapat menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk menjadi pegawai kaunter hadapan pada masa akan datang.
(Gambar: JW Marriott Singapore South Beach)
Anugerah Keselamatan Hotel 2021 bagi Individu dianjurkan SHA, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC).
Para kakitangan hotel lain yang turut menerima Sebutan Khas adalah seperti berikut:
Anugerah Keberanian
Shangri-La’s Rasa Sentosa Resort & Spa
Muhammad Mattin Affandi (Penyelamat)
Zahar AB Sani (Penyelamat)
Muhammad Zulhilmi Suhardi (Penyelamat)
Muhammad Jalil Kamarudin (Penyelamat)
Hairulzahree Sohari (Eksekutif Keselamatan)
Nor Azman Ahmad (Eksekutif Keselamatan)
Razmy Mohamed Talib (Pegawai Keselamatan)
Anugerah Kewaspadaan
The Fullerton Hotel Singapore
Nur Syafiqah Bte Abdullah (Pegawai Perhubungan Tetamu)
Orchard Rendezvous Hotel, Singapore by Far East Hospitality
Arman Husin (Pegawai Keselamatan Kanan)
RELC International Hotel
Mohd Rashid Rafif (Juruteknik)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.