Skip to main content

Singapura

Lebih 210,000 warga emas timba kemahiran celik digital

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 210,000 warga emas timba kemahiran celik digital

(Gambar: CNA/Grace Yeoh)

Diterbitkan : 30 Nov 2022 02:56PM Dikemas Kini : 30 Nov 2022 03:09PM
SINGAPURA: Lebih 210,000 warga emas sudah mengambil bahagian dalam sebuah program yang bertujuan untuk membantu memperkasakan mereka supaya menjadi celik digital, sejak tahun 2020.

Demikian menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo pada Rabu (30 Nov).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalanyang dikemukakan Anggota Parlimen (AP) Lim Biow Chuan (PAP-Mountbatten) mengenai bagaimana Pemerintah membantu para penduduk yang tidak celik digital dan bagaimana ia berhubungan dengan para penduduk yang tidak mempunyai e-mel.

"Pemerintah menyedari sepenuhnya bahawa tidak semua orang selesa menggunakan alat digital," kata menteri itu.

Cik Teo menarik perhatian kepada program 'Seniors Go Digital', di mana para penduduk boleh mengunjungi hab masyarakat SG Digital di beberapa perpustakaan dan balai rakyat terpilih untuk menjalani latihan berhubung kemahiran digital, baik dalam kumpulan kecil mahupun secara perseorangan.

Ini termasuk perkongsiaan mengenai tips keselamatan siber tentang cara untuk kekal selamat dalam talian selain cara menggunakan telefon bijak atau membuat e-pembayaran.

Cik Teo menambah banyak agensi turut menyediakan perkhidmatan secara bersemuka dan pusat perhubunganan untuk membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah dengan perkhidmatan online pemerintah.

"Perkhidmatan Awam juga sudah menubuhkan lima Pusat ServiceSG untuk berfungsi sebagai tempat fizikal sehenti di mana para pegawai boleh membimbing penduduk untuk melakukan urus niaga digital dan membantu mereka melengkapkan perkhidmatan pemerintah yang seringkali digunakan di 20 agensi," tambah beliau.

Saluran luar talian "kekal penting" bagi Pemerintah untuk berhubung dengan para penduduk yang kurang celik digital, kata Cik Teo, sambil menyatakan bahawa penggunaan saluran perhubungan digital sudahpun meningkat.

Selain menerusi penerbitan akhbar dan penyiaran televisyen serta radio secara percuma, banyak agensi pemerintah memaklumkan para penduduk tentang pengumuman dasar-dasar utama melalui surat salinan cetak, melalui panel paparan digital di blok HDB dan juga melalui lawatan ke rumah, tambah Cik Teo.

"Meskipun semakin banyak perkhidmtan yang beralih ke platform digital, Pemerintah kekal komited dalam memastikan sebuah masyarakat yang inklusif dan akan terus memastikan para penduduk boleh terus berhubung serta berurusan dengan Pemerintah, tidak kira tahap keupayaan digital mereka," jelas Cik Teo.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita