Skip to main content

Singapura

Lebih 20,000 warga emas akan dapat akses lebih mudah kepada program penuaan aktif: MOH, MND

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Apr 2025 06:52PM Dikemas Kini : 02 Apr 2025 10:23PM
SINGAPURA: Lebih 20,000 warga emas di merata Singapura akan mendapat akses lebih mudah kepada Pusat Penuaan Aktif (AAC) dekat dengan rumah mereka dalam masa setahun dua lagi.

Ini sebahagian daripada usaha di peringkat nasional untuk membantu warga emas menua dengan baik dalam kalangan masyarakat mereka.

Demikian diumumkan dua menteri Kabinet pada Selasa (2 Apr).

Pusat-pusat itu membantu warga emas kekal aktif dan didampingi menerusi aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama penduduk lain, termasuk sesi makan bersama-sama dan senaman fizikal seperti parkour.

"MOH memperuntukkan sekitar S$800 juta bagi tempoh lima tahun - FY24 hingga FY28 - untuk menambah jumlah Pusat Penuaan Aktif di Singapura, dan juga memberi setiap pusat lebih banyak sumber untuk menganjurkan lebih banyak kegiatan," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Hab Penduduk Kita, iaitu sebuah kemudahan sementara bagi masyarakat dan kegiatan penuaan aktif di Taman Permainan Jalan Mas Kuning di West Coast. Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee juga hadir di acara itu.

"Hari ini, kita mempunyai 223 AAC di merata Singapura, naik daripada kira-kira 150 apabila kita mulakannya, dan setiap pusat kini ada hampir seganda daripada peruntukannya untuk menganjurkan lebih banyak kegiatan," kata Encik Ong.

AAC adalah sebahagian daripada Sihat Menua SG, iaitu pelan nasional yang dilancarkan pada 2023 oleh Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), untuk menyokong warga emas di sini sedang mereka menua.

LEBIH DEKAT DENGAN RUMAH

Hab yang dilancarkan pada Selasa itu merupakan satu contoh inisiatif baharu untuk bantu warga emas mendapat akses lebih baik kepada kegiatan AAC, menurut MOH dan MND dalam satu kenyataan media bersama.

Dibangunkan oleh Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Persatuan Rakyat (PA), ia membolehkan rakan-rakan kongsi masyarakat menganjurkan program-program aktif menua lebih dekat dengan penduduk warga emas di kawasan itu, termasuk mereka yang tinggal di estet-estet perumahan privet berhampiran.

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata di estet-estet HDB, terdapat pusat Rangkaian Penduduk, kolong blok dan ruang dalam kelab dan pusat masyarakat yang boleh digunakan.

"Namun ia mungkin tidak begitu mudah bagi estet-estet privet. Dan terdapat penduduk yang menua di seluruh Singapura, sama ada di perumahan privet, perumahan awam, dan kita hanya perlu mencari ruang secara kreatif, inovatif, supaya aktiviti-aktiviti itu boleh diadakan," katanya.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengambil bahagian dalam aksi 'parkour' di pelancaran Hab Penduduk Kami @ West Coast Peak RN di taman permainan Jalan Mas Kuning pada 2 April 2025. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)
MND dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) akan terus mengenal pasti lebih banyak tapak bagi AAC di estet-estet perumahan privet dan HDB.

Sebuah Pusat Penuaan Aktif baharu oleh Montfort Care di ruang tidak digunakan di stesen MRT Marine Parade akan dibangunkan, manakala contoh-contoh sedia ada termasuk konsep 'Pusat Penuaan Aktif bergerak' oleh Hannah AAC Presbyterian Community Services, dengan kenderaan digunakan untuk memindahkan peralatan ke taman-taman di Anak Bukit bagi tujuan kegiatan, seperti sesi senaman K-pop, menurut MND dan MOH dalam kenyataan media.

"Bagi warga emas, ia juga sangat penting. Ia bukan sekadar berjumpa doktor, mengambil vaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan," kata Encik Ong sambil menambah, ia juga penting untuk mengekalkan persahabatan dan menjaga kesihatan jantung dan minda.

"Saya berharap dengan semua usaha ini kita boleh menggalakkan lebih ramai warga emas untuk keluar rumah dan bergiat aktif."

PRASARANA MESRA WARGA EMAS

Selain AAC, terdapat juga beberapa inisiatif lain untuk membantu warga emas menjalani kehidupan secara lebih selamat dan selesa, seperti mempertingkatkan prasarana mesra warga emas dalam rumah dan di estet-estet, menurut MND dan MOH.

"Bagi estet-estet HDB, MND telah melancarkan beberapa inisiatif termasuk Program Peningkatan Warga Emas (SUP) dan Program Pembaharuan Kejiranan (NRP) untuk mempertingkatkan prasarana," katanya.

Program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (EASE) 2.0, sebagai contoh, memberi subsidi kepada ciri-ciri mesra warga emas, seperti palang pemegang, lantai tahan gelincir dan pintu masuk tandas lebih luas, menurut kedua-dua kementerian itu.

"Bagi estet-estet privet, kumpulan pertama Program Peningkatan Estet (EUP) bagi estet warga emas telah dilancarkan, di mana estet-estet dengan ramai warga emas dan telah meraih manfaat daripada sebelum ini, akan dipilih untuk menerima ciri-ciri penambahbaikan mesra warga emas untuk lebih menyokong keperluan penduduk menua," menurut kenyataan tersebut.

Skop EUP bagi estet-estet biasa dan program EASE juga diperluaskan untuk memenuhi keperluan warga emas.

Usaha untuk menyepadukan ciri-ciri dan kemudahan mesra warga emas dan usia inklusif ke dalam estet-estet Singapura juga akan dimasukkan ke dalam semakan berterusan bagi Draf Pelan Induk 2025, menurut MND dan MOH.

TUMPUAN PADA WEST COAST

"Dengan mengambil kira bahawa kita mempunyai ramai penduduk warga emas di kedua-dua estet perumahan awam dan privet di West Coast, kita perlu lebih berusaha untuk menjaga warga emas kita, dan Sihat Menua SG adalah inisiatif kebangsaan yang sangat penting yang perlu dilaksanakan secara berkesan menerusi penyelarasan lebih ketat," kata Encik Lee.

Encik Lee adalah ketua pasukan GRC West Coast.

Beliau menambah bahawa pasukannya telah mendampingi para penduduk di kawasan undi itu selama hampir dua tahun, menerusi kunjungan ke rumah dan majlis perhimpunan dan perayaan seperti Hari Kebangsaan dan Tahun Baharu Cina.
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dan muka baharu PAP Natasha Choy bertemu dengan para penduduk di pelancaran Hab Penduduk Kita @ West Coast Peak RN di taman permainan Jalan Mas Kuning pada 2 April 2025. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)
"Kami dapat melihat dan mendengar secara jelas daripada warga emas yang tinggal di kawasan itu bahawa kita perlu lakukan lebih lagi, dan kami akan lakukan demikian," katanya, sambil menukil Hab Penduduk Kita sebagai salah satu usaha demikian.

Encik Lee berkata Stadium Clementi berhampiran akan dibangunkan semula menjadi ruang ActiveSG, di mana ia akan dilengkapi dengan trek larian dan peralatan senaman yang boleh digunakan oleh warga emas.

Ruang-ruang hijau di kawasan undi itu juga akan dipertingkatkan dengan pertimbangan kepada warga emas, serta golongan muda dewasa dan kanak-kanak.

Beliau juga menarik perhatian kepada satu bahagian di West Coast Road, iaitu berhampiran dengan West Coast Plaza dan Pusat Penjaja West Coast yang dinaik taraf baru-baru ini.

"Sebahagian West Coast Road itu baru-baru ini selesai menjalani kerja-kerja naik taraf Laluan Mesra, iaitu antara kumpulan pertama usaha yang telah dilancarkan MOT - yang juga sebahagian daripada gerakan Sihat Menua SG," kata Encik Lee.

Turut hadir di acara pada Selasa adalah muka baharu PAP Natasha Choy, yang bertemu para penduduk bersama dua menteri Kabinet.

"Natasha menyertai kami baru-baru ini. Beliau seorang anggota aktif di NTUC, anggota kesatuan sekerja, dan beliau datang hari ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai masyarakat ini, mempelajari tentang inisiatif-inisiatif yang telah kami lancarkan," kata Encik Lee.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita