Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 20,000 pengunjung serbu Pesta M'sia 2022 pada hari pertama dibuka

Seramai 100,000 pengunjung disasarkan pihak penganjur bagi Pesta Malaysia 2022.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 100,000 pengunjung disasarkan pihak penganjur bagi Pesta Malaysia 2022. 

Pada hari pertama ia dibuka iaitu pada Khamis (25 Ogos), ia sudah berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung dan meraih penjualan bernilai hampir setengah juta dolar. 

Edisi kelima ekspo itu akan berlangsung hingga Ahad (28 Ogos). 

Ekspo pengguna yang mempamerkan produk dari Malaysia itu juga dijangka akan menjadi acara tahunan, selepas ditiadakan selama dua tahun akibat COVID-19.

Acara tahun ini turut memperkenalkan produk-produk makanan dari negeri-negeri seperti Sabah, Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

SITI NURHALIZA PERTAMA KALI SERTAI PESTA M'SIA

Antara 'ikon Malaysia' yang ditampilkan dalam Pesta Malaysia 2022 termasuk penyanyi Siti Nurhaliza. 

Walaupun pernah beraksi di Singapura sebagai penyanyi, inilah kali pertama usahawan itu menyertai sesebuah ekspo di sini untuk memperkenalkan produk-produknya bagi pasaran Singapura.

Beliau yang berada di ekspo sejak hari pertama acara juga terharu dengan sambutan para pengunjung.

"Orang Singapura memang sangat menyokong produk-produk kami dan ini membuatkan saya rasa tersentuh," kata Siti Nurhaliza, yang menjual barangan kecantikan di bawah jenama SimplySiti dan BeauSiti.

Mula berniaga secara kecil-kecilan sejak usia muda lagi, Siti Nurhaliza juga prihatin akan nasib para peniaga yang terjejas oleh kesan pandemik.

"Saya ini memang orang suka berniaga. Saya tahu macam mana semangat orang berjual. Bila kita berhadapan dengan pandemik COVID-19, saya juga, usahawan-usahawan yang lain, turut terjejas. 

"Namun apabila dibuka semula dan kami diberi peluang untuk berada di sini, untuk datang sendiri, bertemu dengan pelanggan-pelanggan dari Singapura, ia membuka pintu rezeki yang besar buat kami semua," tambahnya.

Selebriti-selebriti popular lain Malaysia dan tempatan yang turut mengambil bahagian termasuk Aliff Syukri, Rozita Che Wan, Elly Mazlein dan Fahrin Ahmad. 

Selebriti tempatan Hady Mirza, Roslan Shah, Sufi Rashid dan Shah Iskandar juga ikut serta menjual produk masing-masing. 

Di samping berpeluang membeli buah-buahan dan tanam-tanaman segar lagi eksotik hasil tuaian dari ladang-ladang di Malaysia, orang ramai juga dihiburkan dengan segmen hiburan di samping sesi ceramah.

Terdapat juga gerai-gerai menjual makanan termasuk yang berkonsep 'trak makanan'. 

LEBIH S$475,000 PENJUALAN DIRAIH DALAM SEHARI

Acara anjuran MegaXpress International Pte Ltd turut disokong Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pelancongan Malaysia. 

Pihak penganjur, teruja menyaksikan sambutan orang ramai yang cukup memberangsangkan. 

Seramai 21,288 pengunjung dicatatkan dan hampir RM1.53 juta (S$475,000) penjualan diraih dalam masa sehari sahaja.

"Tak ada tempat nak duduk, tak ada tempat nak jalan semua. Jadi ini memberangsangkan kita lagi untuk ke depan lagi," kata Pengarah Urusan, MegaXpress, Encik Hamzah Abdullah.

Jumlah pengunjung yang dicatatkan pada 2019 iaitu kali terakhir acara dianjurkan adalah 97,000.

Melihat respons sejauh ini, Encik Hamzah tidak menyangkal pihaknya boleh menjangkaui sasaran, asalkan pengunjung berpuas hati.

"Saya rasa lebih tinggi. Sasaran kita itu setidak-tidaknya 100,000. Kalau orang datang orang gembira, sambutan bagus, insya-Allah kita anjurkan lagi tiap-tiap tahun," jelasnya.

Dalam edisi kali ini, acara itu menampilkan lebih 200 gerai. 

Encik Hamzah turut menjelaskan, kekurangan pegerai tahun ini berbanding edisi-edisi sebelumnya disebabkan faktor-faktor seperti penutupan kilang atau sekadar tidak dapat mengambil bahagian.

PETAI DARI PERAK ANTARA YANG PALING LARIS

Turut menyuarakan kepuasan di atas sokongan pengunjung Singapura ialah Timbalan Menteri Pertanian & Industri Makanan Malaysia, Encik Ahmad Hamzah yang hadir sebagai tetamu kehormat.

Semasa merasmikan acara hari ini, beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan negeri-negeri di Malaysia untuk menyokong usaha mempromosikan produk dan budaya negeri masing-masing khususnya bagi pasaran Singapura.

"Kita yakin dengan sambutan serta sokongan yang padu daripada pemerintah Singapura yang sebenarnya bukan sahaja kita punya rakan dagang bahkan kita sentiasa menjalin kerjasama yang begitu erat di antara Malaysia dan Singapura, kita akan memperkukuhkan lagi jalinan kita," kata Encik Ahmad.

Bercakap kepada media, Encik Ahmad turut berkongsi bahawa barangan yang dibawa juga mengikuti citarasa dan permintaan orang Singapura.

"Sebenarnya kita bawa petai dari Perak. Ini sebenarnya permintaan daripada penduduk di sini, permintaan yang cukup baik. Kali ini kita bawa satu pembaharuan, ulam-ulaman selain petai kerana kita nak kalau boleh apa barangan hasil pertanian yang kita bawa ini adalah atas permintaan dan mendapat pasaran," jelas Encik Ahmad.

Bagi para peminat durian, Encik Ahmad berseloroh ia tidak dibawa masuk kerana 'belum musim'. 

Namun, beliau tidak menyangkal mungkin raja buah itu akan membuat kemunculannya semula dalam acara tahun depan.

Pesta Malaysia 2022 akan berlangsung hingga 10 malam, 28 Ogos 2022 di Dewan 6A, Singapore Expo.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan