Lebih 20,000 pengunjung berpakaian merah, putih banjiri Karnival Mega WGS
SINGAPURA: Sambutan menjelang Hari Kebangsaan dimeriahkan lagi dengan karnival-karnival mega di lima kawasan kejiranan sepanjang hujung minggu ini.
Satu-satunya karnival mega yang dijalankan pada Ahad (7 Ogos) terletak di Wisma Geylang Serai (WGS).
Ia dibanjiri lebih 20,000 pengunjung berpakaian merah dan putih.
Pelbagai aktiviti disediakan bagi seisi keluarga di karnival mega itu yang dijalankan dari jam 4.00 petang hingga 9.00 malam.
SETIAP SUDUT DI PERKARANGAN WGS DIBANJIRI PARA PENGUNJUNG
Tidak kira di kawasan dewan utama WGS, kawasan padang di luar WGS, mahupun di Anjung @ WGS, setiap sudut sesak dengan para pengunjung.
Karnival tersebut menyediakan 10 zon yang mengadakan pelbagai kegiatan bagi mereka yang hadir.
Pada sebelah petang pula, kumpulan muzik Jive Talkin menghiburkan para pengunjung dengan bermacam-macam lagu malar segar.
Penyanyi kumpulan itu, Encik Raffy berkata: "Ramai orang warga emas yang menonton, jadi mereka ikut serta, nyanyi bersama-sama, bertepuk tangan. Seronok! Yang datang yang tengok pun, mereka pun saya rasa ghairah. Mereka terhibur."
"Semangatnya baik, orang yang datang semuanya berbilang kaum. Walaupun ini Wisma Geylang Serai, tempat orang Melayu tapi banyak berbilang kaum," tambah seorang lagi penyanyi kumpulan itu, Encik Zukhair.
Antara lain, para pengunjung juga boleh mengambil gambar dengan kenderaan perarakan NDP serta menyaksikan persembahan-persembahan tarian dan nyanyian semasa karnival mega itu.
TAK DAPAT TIKET NDP, SAMBUTAN DI KEJIRANAN CUKUP MERIAH
Para pengunjung yang hadir juga dapat merasakan semangat patriotik.
Meskipun bukan pada Hari Kebangsaan sendiri, semangat itu sudah dapat dirasakan dan diraikan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berjaya mendapatkan tiket untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos.
Cik Salizah Samsuri, yang datang bersama keluarganya berkata: "Kita sebenarnya rasa sangat ghairah dan gembira sebab kita tidak dapat tiket untuk NDP. Jadi kita dapat datang ke sini dengan keluarga pun sudah cukup bagus."
"Kita datang ke sini juga sebab nak dapatkan pek-pek NDP yang percuma!" tambahnya lagi.
Seorang lagi pengunjung, Encik Hairul Kamarul Iswandi berkata: "Kita tak jangkakan ramai orang datang sebab acara ini di kawasan kejiranan bukan? Memang hangat sambutan dia."
"Rasanya sudah lama kita tidak ada sambutan seperti ini. Jadi ini juga satu peluang baik untuk anak-anak saya dapat melihat kenderaan-kenderaan NDP. Memandangkan kita tidak dapat tiket NDP, di sini pun jadilah," ujar seorang pengunjung, Cik Maisarah Kamil.
Selain itu, mereka turut menanti-nantikan persembahan oleh ikon muzik Singapura, Rahimah Rahim dan pertunjukan bunga api.
Pada 9 Ogos, orang ramai boleh menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan kejiranan di lima kawasan termasuk Stadium Jurong West dan bekas tapak Maktab Rendah Tampines.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.