Lebih 20,000 mempelai didampingi dalam program Bersamamu sejak Nov 2019
Sebanyak 22,000 pasangan mempelai sudah meraih manfaat daripada program Bersamamu, yang kini mencecah tahun keempat.

(Gambar: Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)
SINGAPURA: Sebanyak 22,000 pasangan mempelai sudah meraih manfaat daripada program Bersamamu, yang kini mencecah tahun keempat.
Demikian menurut kenyataan media Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), yang mendedahkan dapatan penilaian kualitatif ke atas program tersebut.
Dapatan tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) itu, menunjukkan bahawa lebih 99 peratus daripada 19 pasangan yang ditemu bual dan 520 responden yang ditinjau, berpuas hati dengan program yang dikendalikan.
Di bawah program Bersamamu, yang dimulakan pada November 2019, Kadi atau Naib Kadi membimbing setiap pasangan sebelum dan selama dua tahun sesudah pernikahan.
Ia merupakan usaha di bawah Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berserta rangkaian M³ - MUIS, MESRA dan MENDAKI, dan bertujuan memberi sokongan menyeluruh kepada pasangan yang bakal berumah tangga.
Para pasangan ditinjau sebulat suara menghargai keramahan, keterkaitan dan sokongan yang diberikan oleh para Kadi atau Naib Kadi masing-masing.
Malah salah satu faktor kejayaan adalah hubungan yang dijalin bersama para Kadi atau Naib Kadi.
Tujuh puluh empat peratus daripada pasangan yang ditinjau berhubungan sekurang-kurangnya sekali dengan Kadi atau Naib Kadi mereka selepas majlis akad nikah untuk:
- Mendapatkan nasihat rumah tangga dan hubungan
- Mengakses sumber sedia ada dan berguna
- Mendapatkan nasihat mengenai rumah tangga dalam konteks agama
- Mendapatkan sokongan yang disediakan oleh Kadi/Naib Kadi
Berdasarkan tinjauan yang sama, pasangan mempelai juga berkongsi pengalaman positif mengenai sesi bersua muka sebelum majlis pernikahan.
Rata-rata mengatakan ia berguna dan relevan dalam membuat persediaan ke alam perkahwinan.
Sehubungan itu, struktur dan penyampaian sesi suai kenal sebelum pernikahan diberikan markah 4.47 daripada 5.
Malah, topik-topik perbincangan semasa sesi bertemu muka Bersamamu turut memanfaatkan para pasangan di peringkat peribadi dan hubungan sesama manusia.
Hasil perkongsian dapatan tinjauan berkenaan, para Kadi dan Naib Kadi membincangkan titik pembelajaran dan kaedah untuk menerapkannya dalam program Bersamamu bagi mengukuhkan sokongan rumah tangga bagi perkahwinan Muslim.
Ini termasuk meningkatkan usaha pendampingan dan rujukan pasangan Muslim kepada Projek Yayasan Temasek ARIF dan Program Pengayaan Rumah Tangga Cinta Abadi.
Hasil tinjauan itu dikongsi semasa sesi Amalan Masyarakat (COP) Bersamamu yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Raya bagi Kadi dan Naib Kadi pada Jumaat lalu (12 Mei).
Sekitar 30 Kadi dan Naib Kadi hadir di majlis itu, dengan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri (MHA) merangkap Pembangunan Negara (MND) Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai tetamu terhormat.
Di acara itu, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri (MHA) merangkap Pembangunan Negara (MND) Dr Muhammad Faishal Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada para Kadi dan Naib Kadi atas dedikasi mereka terhadap program Bersamamu.
Malah katanya, hasil dapatan tinjauan yang positif itu mengesahkan keberkesanan program tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.