Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 20,000 kunjungi Istana sempena Hari Raya & Hari Buruh, jumlah tertinggi pasca pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Seramai 21,000 orang mengunjungi Istana hari ini sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Buruh hari ini (1 Mei).

Jumlah itu adalah yang tertinggi dicatatkan sejak pandemik.

Malah ia juga lebih dua kali ganda berbanding jumlah pengunjung bagi acara itu tahun lalu.

Seawal pukul 8.30 pagi lagi, para pengunjung sudah beratur untuk mendapatkan pas lawatan berpandu ke beberapa ruang di dalam Istana.
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Meskipun cuaca panas, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mengunjungi Istana pada musim perayaan ini.

"Barisannya sangat panjang sehingga ke Plaza Singapura dan saya tunggu hampir satu jam untuk datang ke sini jadi saya seronok dapat lihat ramai orang di sini," kata seorang pengunjung, Cik Aishvarya.

Ada juga yang tidak mahu terlepas peluang mengunjungi bangunan ikonik itu buat pertama kalinya.

"Melihat pada kehijauan dan seni bina sekeliling, saya rasa Istana ini sangat cantik kerana saya belum pernah melihatnya sebelum ini," ujar pengunjung, Kaylen Thawdar.

Selain dapat melawat beberapa kawasan Istana termasuk kolam angsa yang baru selesai jalani kerja peningkatan bulan lalu, mereka turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian Melayu dan dikir barat oleh para pelajar.

Lebih istimewa lagi, ada yang dapat bertemu dengan Presiden Halimah Yacob dan suaminya, Encik Mohamad Abdullah Alhabshee dan ramai yang mahu bergambar bagi mengabadikan kenangan itu.


Menurut seorang pengunjung, Cik Nurhidayah Mohd Kassim, "Sungguhpun kami beratur daripada pukul 9.00 pagi, agak panjang kami beratur tetapi Alhamdulillah kami gembira dapat bertemu dengan Puan Halimah Yacob dan bergambar dengan idola anak saya, kami sangat gembira dapat bersama-sama dengan beliau hari ini."

Anak lelakinya, Khairul Amirin Mohamad juga berpuas hati dapat bergambar dengan idolanya.

"Saya betul-betul gembira, dah lama saya berminat dengan Puan Halimah dan kini kami sudah berjumpa. Saya dah boleh balik," kata Khairul Amirin dengan nada riang.

Begitu juga yang dirasakan seorang lagi pengunjung, Salwani Mahadi, "Semasa saya berada di sini, saya dapat melihat ramai kaum lain yang hadir di sini dan juga berjumpa dengan Presiden Halimah. Perasaan gembira kerana menyambut Hari Raya dan juga dapat berkunjung ke Istana, rumah terbuka."

(Gambar: Nurfazirah Azman)
Terdapat juga pelbagai aktiviti seperti melukis inai dan membentuk belon disediakan buat para pengunjung.

Mereka juga dapat menikmati makanan seperti kebab dan pelbagai minuman dari tujuh trak makanan di kawasan Istana.

Sebagai kenangan, ada juga yang membawa pulang cenderahati Istana dan kesemua hasil kutipan yuran dan penjualan di gerai-gerai cenderahati akan disalurkan kepada badan-badan amal yang disokong Cabaran Presiden.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan