Skip to main content

Singapura

Lebih 200 pelajar Melayu cemerlang terima anugerah tuisyen badan bantu diri

243 pelajar Melayu/Islam menerima Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) hari ini (25 Ogos) atas prestasi cemerlang mereka dalam peperiksaan nasional.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 243 pelajar Melayu/Islam menerima Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) hari ini (25 Ogos) atas prestasi cemerlang mereka dalam peperiksaan nasional.

Mereka dalam kalangan 517 penerima anugerah tahunan tersebut yang diberikan empat badan bantu diri setempat.

Acara penyampaian anugerah anjuran Yayasan Mendaki bersama CDAC, Persatuan Serani dan SINDA bertujuan mengiktiraf para pelajar di bawah skim tuisyen masing-masing yang menunjukkan kemajuan terbaik dalam peperiksaan nasional dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.

Keseluruhannya, S$66,050 diagihkan dalam bentuk baucar buku oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Ng Chee Meng. Setiap baucar bernilai S$100 atau S$150 mengikut peringkat pendidikan pelajar.

Para penerima merupakan peserta Program Tuisyen Kolaboratif (CTP) yang dimulakan Kumpulan-Kumpulan Bantu Diri (SHG) sejak 2002 bagi menyediakan khidmat tuisyen yang dimampui kepada pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Antara penerima Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) dalam majlis hari ini ialah Muhyiddin Yasin Muchsin Dahalan, seorang pelajar menengah lima dari Sekolah Menengah Yishun Town.

"Program ini memberikan saya banyak peluang untuk membuat banyak latihan dalam mata pelajaran yang saya dapati sukar," kata Muhyiddin.

Ini turut disetujui Leila Meimouna Boussetta yang menerima anugerah atas pencapaiannya dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). Leila seorang pelajar Sekolah Menengah Choa Chu Kang.

"Saya mengikuti program ini selama tiga tahun dan saya rasa gembira kerana mendapat anugerah ini. Tutor saya memberi motivasi untuk saya mendapat markah yang lebih baik," katanya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita