Lebih 200 pelajar dari 12 sekolah bakal berentap di pentas akhir Katapella
Sekolah Menengah Yusof Ishak, juara kategori sekolah menengah Katapella 2025, kembali bersaing di peringkat akhir tahun ini. (Gambar: Mediacorp Untukmu)
SINGAPURA: Lebih 200 pelajar, 12 sekolah dan hanya dua gelaran juara.
Pentas akhir Katapella 2026 bakal menyaksikan enam sekolah rendah dan enam sekolah menengah berentap menerusi persembahan koral yang menggabungkan penguasaan bahasa Melayu dengan kreativiti dan ekspresi.
Dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Mediacorp, setiap pasukan akan membawa pendekatan tersendiri dalam menghidupkan bahasa Melayu menerusi persembahan berkumpulan.
Ia bertujuan memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar, melangkaui pembelajaran di bilik darjah, kata Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya pada 11 Ogos.
Pertandingan itu dibuka kepada murid Darjah 3 hingga Darjah 5 serta pelajar Menengah 1 hingga Menengah 3.
Bagi edisi 2026, kategori sekolah rendah membawa tema 'Bagai Aur dengan Tebing', manakala kategori sekolah menengah pula mengetengahkan 'Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih'.
Enam sekolah yang mara ke peringkat akhir kategori sekolah rendah ialah Sekolah Rendah Punggol View, Radin Mas, Seng Kang, Institusi Rendah St. Joseph, Xingnan dan Xishan.
Bagi kategori sekolah menengah pula, persaingan melibatkan Sekolah Menengah Ang Mo Kio, Changkat Changi, Greendale, Yio Chu Kang, Yuhua dan Yusof Ishak.
Sebahagian daripada finalis tahun ini bukan nama asing di pentas Katapella.
Antaranya Sekolah Menengah Yusof Ishak, yang dinobatkan sebagai juara kategori sekolah menengah pada 2025.
Sekolah Menengah Ang Mo Kio, yang meraih tempat kedua tahun lalu, turut kembali ke peringkat akhir, bersama Sekolah Menengah Changkat Changi dan Yio Chu Kang yang masing-masing menerima hadiah sagu hati pada edisi 2025.
Persaingan dalam kategori sekolah rendah turut menyaksikan kemunculan semula dua finalis tahun lalu.
Sekolah Rendah Punggol View, naib juara Katapella 2025, sekali lagi mara ke pentas akhir, bersama Sekolah Rendah Seng Kang yang menerima hadiah sagu hati pada edisi sama.
Pada 2025, Sekolah Rendah Opera Estate muncul juara bagi kategori sekolah rendah.
Orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan para finalis Katapella 2026 menerusi dua episod selama sejam di Suria dan meWATCH.
Pusingan akhir kategori sekolah rendah akan disiarkan pada 14 Ogos, 8.30 malam, manakala kategori sekolah menengah pula akan menyusul pada 21 Ogos, 8.30 malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.