Skip to main content

Singapura

Lebih 200 peguam bincang gesaan dedah laporan penuh siasatan budaya kerja LawSoc

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 200 peguam bincang gesaan dedah laporan penuh siasatan budaya kerja LawSoc

Logo Persatuan Guaman Singapura. (Gambar fail)

Diterbitkan : 14 Aug 2026 12:16AM
  • Lebih 200 anggota Persatuan Guaman Singapura menghadiri sesi tertutup pada 13 Ogos untuk membincangkan gesaan pendedahan laporan penuh siasatan dakwaan buli dan budaya kerja tidak wajar.
  • Petisyen yang disokong lebih 100 anggota menuntut ketelusan, susulan dapatan audit dalaman yang mengenal pasti kelemahan dalam kepimpinan dan tadbir urus LawSoc.
  • Anggota mempersoalkan tindakan kepimpinan, kemungkinan konflik kepentingan, serta sama ada aduan polis perlu dibuat berhubung dakwaan gangguan di tempat kerja.
  • Majlis LawSoc sedang menimbangkan semula pendedahan laporan penuh, sementara saranan audit mula dilaksanakan untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Lebih 200 anggota bidang guaman menghadiri sesi tertutup Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) pada Khamis (13 Ogos) bagi membincangkan gesaan supaya dapatan penuh siasatan didedahkan berhubung dakwaan buli di tempat kerja dan budaya kerja kurang wajar.

Sesi pada sebelah malam itu menyaksikan perbahasan hangat menyusuli petisyen lebih 100 anggota yang menuntut laporan penuh tersebut didedahkan.

Petisyen itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai "perkara paling serius setakat ini yang pernah dihadapi LawSoc sepanjang sejarahnya".

Petisyen tersebut dimulakan selepas Menteri Undang-Undang Edwin Tong memberitahu Parlimen awal bulan ini bahawa audit dalaman mengenal pasti "kelemahan ketara dalam kepimpinan, budaya kerja dan tadbir urus" dalam persatuan tersebut.

Semasa sesi pada Khamis (13 Ogos), salinan bercetak laporan jawatankuasa audit yang mengandungi ringkasan dapatan dan saranan disediakan untuk dibaca anggota sebelum sesi bermula pada 5.30 petang di Maxwell Chambers.

Namun, salinan itu perlu dikembalikan sebelum sesi berakhir.

Mediacorp difahamkan beberapa lampiran tidak disertakan dalam dokumen yang diberikan, termasuk laporan siasatan lebih lengkap oleh sebuah firma guaman dan syarikat audit luar.

PERSOAL ISU KETELUSAN

Semasa sesi tersebut, anggota mempersoalkan mengapa laporan penuh tidak boleh didedahkan dan membangkitkan isu ketelusan, pandangan orang ramai terhadap LawSoc serta kemungkinan konflik kepentingan berkaitan firma guaman yang menjalankan siasatan.

Mereka turut membincangkan cara pihak kepimpinan menangani kebimbangan yang dibangkitkan serta sama ada aduan polis perlu dibuat berhubung dakwaan gangguan di tempat kerja.

Peguam Clarence Lun dari Fervent Chambers, yang menghadiri sesi itu, berkata pendedahan laporan penuh diperlukan bagi memastikan kebertanggungjawaban.

Menurutnya, membenarkan anggota membaca laporan jawatankuasa audit merupakan satu langkah ke arah ketelusan.

Namun, beliau berkata anggota juga seharusnya dibenarkan memahami dan meneliti bahan siasatan yang menjadi asas laporan tersebut, tertakluk kepada perlindungan kerahsiaan dan data peribadi yang sewajarnya.

Ketegangan memuncak pada satu ketika apabila beberapa anggota meninggikan suara, menyebabkan seorang anggota majlis meminta mereka kembali duduk.

Sesi itu berakhir sekitar 9.30 malam, dua setengah jam lewat daripada yang dijadualkan.

Menurut sumber, majlis LawSoc akan menimbangkan semula sama ada laporan penuh tersebut harus didedahkan.

Mediacorp sudah menghubungi LawSoc serta Kementerian Undang-Undang (MinLaw) untuk mendapatkan ulasan.

LATAR BELAKANG SIASATAN

Pada 13 September 2025, MinLaw dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menerima emel tanpa nama yang mengandungi dakwaan dan aduan mengenai individu serta amalan tertentu dalam LawSoc antara 2022 dengan 2025.

MinLaw kemudian merujuk dakwaan itu kepada majlis LawSoc untuk disiasat.

Majlis tersebut melantik jawatankuasa audit persatuan bagi menjalankan siasatan dan mengemukakan saranan sewajarnya.

Jawatankuasa itu menyerahkan laporannya kepada majlis pada 5 Jun 2026, manakala satu salinan dihantar kepada MinLaw pada 1 Julai.

Peguam memberitahu Mediacorp bahawa laporan tersebut meneliti beberapa aspek, termasuk budaya kerja dan kepimpinan persatuan, kemungkinan kelemahan dalam tadbir urus korporat dan kawalan dalaman serta kecukupan tatacara berkaitan perjalanan ke luar negara dan pemberi maklumat.

Sebahagian laporan itu turut menyentuh dakwaan gangguan di tempat kerja oleh kakitangan.

Encik Tong berkata pada 5 Ogos bahawa meskipun audit tersebut tidak menemui bukti salah laku kewangan yang disengajakan atau usaha menutup kesalahan secara sengaja, ia mengenal pasti kelemahan ketara dalam kepimpinan, budaya kerja dan tadbir urus.

Beliau menambah bahawa majlis LawSoc ketika ini sudah menerima dapatan jawatankuasa audit dan mula melaksanakan saranannya.

Beberapa hari selepas kenyataan Encik Tong di Parlimen, Peguam Kanan Jimmy Yim mengemukakan petisyen kepada LawSoc supaya laporan penuh itu disediakan kepada anggotanya.

Dalam surat bertarikh 11 Ogos, Encik Yim menyertakan nama lebih 100 individu yang menyokong gesaan supaya laporan tersebut didedahkan sepenuhnya.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita