Lebih 200 orang beri penghormatan terakhir buat wanita SG yang maut di New York
Jenazah wanita warga Singapura yang meninggal dunia selepas terjatuh dari cenuram di Amerika Syarikat selamat disemadikan di Pusara Aman sekitar jam 12.50 tengah hari tadi (27 Dis).
SINGAPURA: Jenazah wanita warga Singapura yang meninggal dunia selepas terjatuh dari cenuram di Amerika Syarikat selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar jam 12.50 tengah hari tadi (27 Dis).
(Gambar: Syawal Yusoff)
Allahyarhamha Nur Aisyah Md Akbar, 39 tahun terjatuh dari cenuram setinggi 30 meter di Taman Simpanan Minnewaska, New York pada Jumaat (22 Dis).
Jenazahnya tiba di Singapura sekitar 7 pagi tadi, diiringi suami, Encik Abdul Rauf Mohd Said, 41 tahun selepas melalui penerbangan hampir 21 jam dari New York ke Singapura.
Jenazah kemudian dibawa ke rumah mereka di Jalan Loyang Besar dan disambut ramai orang.
Cuaca hujan lebat juga tidak menghambat lebih 200 orang termasuk saudara mara, rakan kerja, rakan-rakan sekolah dan jiran tetangga berbilang kaum untuk datang memberikan penghormatan terakhir mereka.
(Gambar: Syawal Yusoff)
KEHILANGAN YANG BESAR BAGI RAMAI
Suasana menjadi lebih sedih lagi apabila tiba waktu bagi jenazah dibawa ke Pusara Aman untuk dikebumikan.
Antara yang tangisi pemergiannya itu ialah jiran tetangganya yang sudah mengenalinya sejak enam tahun lalu.
"Apabila dia tinggal di sini, dia menjadi kawan kepada semua orang. Jadi ia adalah satu kehilangan yang besar apabila beliau sudah tiada lagi," kata Cik Jun Esmail sambil menahan sebak.
Terkenang akan sikap pemurah Allahyarhamha, Cik Jun memberitahu wartawan Syawal Yusoff, "Setiap tahun semasa Hari Raya, beliau akan menjemput saya. Setiap tahun apabila beliau mengerjakan umrah, beliau akan pulang dan memberikan saya air zamzam dan kurma."
Allahyarhamha Aisyah juga selalu anjurkan kegiatan bersama-sama jiran tetangga demi mengeratkan lagi silaturahim.
"Beliau ibarat sinar mentari yang menyalakan sesebuah bilik jadi dia sentiasa memiliki senyuman yang cantik. Beliau juga selalunya yang akan mengambil inisiatif untuk membuat kawan dengan semua orang," kata seorang lagi jiran, Cik Cynthia Little.
Allahyarhamha Aisyah meninggalkan seorang suami dan dua orang anak tiri.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Semasa kunjungan CNA dan BERITA Mediacorp ke upacara pengebumian siang tadi, suaminya, Encik Rauf kelihatan tidak dapat menahan kesedihan.
Oleh itu, beliau mewakilkan seorang jurucakap yang juga rakan kerja dan teman, Encik Mohamad Farhan Anas, untuk bercakap bagi pihaknya.
"Saya memang terperanjat. Cik Nur Aisyah ini orang dia istimewa. Alhamdulillah siapa yang dapat peluang untuk bertemu dengan dia akan rasa tersentuh," kata Encik Farhan.
SEORANG PENCINTA HAIWAN
Mengenang Allahyarhamha Aisyah, Encik Farhan berkongsi bahawa antara isu yang dekat di hati Allahyarhamha semasa hayatnya ialah kebajikan haiwan.
Semasa hayatnya, beliau banyak terlibat dengan kerja-kerja menyelamatkan haiwan seperti kucing.
(Facebook/Ais Sarah)
"Arwahnya memang cintakan haiwan tersangat khususnya kepada kucing. Walaupun bukan satu pekerjaannya yang rasmi untuk menyelamatkan binatang tetapi orang-orang di dalam lingkaran penjagaan kucing, menyelamatkan kucing dan haiwan akan menghubungi Allahyarhamha untuk sekiranya boleh membantu dan apa yang Allahyarhamha akan buat ialah membawa kucing itu ke rumahnya dan menjaganya, atau ke klinik haiwan.
"Dia ini sebagai malaikat, ramai orang yang berkata begitu kerana mereka terasa sangat istimewa bila berada di kalangan dia," ujar Encik Farhan.
Allahyarhamha Aisyah memelihara 40 ekor kucing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.