Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 200 murid tadika Masjid Kampung Siglap sebar rahmah agih habuan sempena Hari Kanak-Kanak

Memupuk semangat hidup bermasyarakat dari kecil lagi supaya mereka tidak rasa kekok melakukannya apabila dewasa kelak. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memupuk semangat hidup bermasyarakat dari kecil lagi supaya mereka tidak rasa kekok melakukannya apabila dewasa kelak.

Sempena Hari Kanak-Kanak, lebih 200 kanak-kanak tadika Masjid Kampung Siglap mengagihkan habuan makanan kepada penerima zakat di sekitar Marine Terrace dan Cassia Crescent.

Usaha murni tersebut bertujuan untuk menyebarkan rahmah kepada masyarakat memerlukan.

MURID TADIKA & IBU BAPA GEMBLENG TENAGA

Beras, biskut, mihun dan makanan dalam tin adalah antara makanan kering yang disertakan ke dalam beg habuan oleh murid-murid tersebut hari ini (3 Okt).

Mereka turut dibantu 44 ibu bapa yang turun padang sebagai relawan bagi menyokong inisiatif tersebut.

Wajah-wajah anak itu turut menyerlahkan keghairahan dapat berkongsi keceriaan bersama penduduk di blok-blok sewa bagi acara 'Agihan Amal Khalifah Muda'.

Para penerima habuan di tujuh blok sekitar Marine Terrace dan Cassia Crescent itu juga terdiri daripada penerima zakat Masjid Kampung Siglap.

Murid K2, Maryam Abdul Razak berkongsi keseronokannya: "Saya rasa gembira dapat tolong orang-orang yang memerlukan."

Rakannya, Ulfah Umar pula berkata: "Saya dapat menyediakan pek makanan dan melawat rumah-rumah penerima zakat Masjid Kampung Siglap. Saya amat bahagia dan puas hati."

TAMPIL KELAINAN, TERAP SIFAT RAHMAH

Agihan yang diadakan buat kali kedua itu juga membawa kelainan tahun ini dengan menggunakan beg-beg kitar semula.

Yang pasti, kegiatan amal seumpama ini membantu menerapkan nilai rahmah di dalam diri murid-murid bagi memahami pentingnya hidup bermasyarakat.

Relawan tadika Cik Nazeerah Shaik Alwie berkata beliau sangat mengalu-alukan kegiatan seumpama itu, terutama sekali dalam menyambut Hari Kanak-Kanak.

"Saya rasa ini adalah inisiatif yang sangat baik supaya ia boleh mendidik mereka berkongsi nikmat yang mereka ada bersama saudara-mara dan jiran-jiran mereka," ujarnya.

Guru tadika Masjid Kampung Siglap, Cik Bintul Huda Matsom berkongsi: "Di Kampung Siglap, kami ingin anak-anak kami sama-sama meraikan hari ini dengan orang yang memerlukan di mana mereka dapat memahami masyarakat dari latar belakang yang berbeza.

"Dari sini, kami dapat memperkayakan dengan nilai-nilai dan kemahiran sosial. Bukan itu sahaja, kami juga mengajar adab-adab positif kepada anak-anak kami di mana kami mengajar mereka untuk memberi salam, memberi makan dan saling ingat-mengingati sesama mereka."

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Lebih manis lagi, keceriaan murid-murid ini ditambah pula dengan pemberian hadiah kepada setiap murid yang terlibat.

Jelas, sifat ihsan dan rahmah juga dapat disemai dalam meraikan Hari Kanak-Kanak bagi masyarakat di sini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan