Lebih 20 syarikat intai manfaat peta 3D S'pura terbitan SLA
Melatih juruterbang tentang laluan-laluan penerbangan dan memaparkan pemandangan dari pangsapuri yang dijual.
SINGAPURA: Melatih juruterbang tentang laluan-laluan penerbangan dan memaparkan pemandangan dari pangsapuri yang dijual.
Demikian antara ciri peta interaktif tiga demensi atau 3D Singapura yang baru.
Lebih 20 syarikat telah melahirkan minat untuk memanfaatkannya bagi tujuan penyelidikan dan meningkatkan daya hasil hanya beberapa hari selepas ia dilancarkan.
OneMap3D adalah peta sumber terbuka yang terbaru, terbitan Penguasa Tanah Singapura (SLA).
OneMap yang dilancarkan 10 tahun lalu dalam bentuk 2D, kini mempunyai ciri-ciri baru yang tidak mampu diterapkan dalam versi sebelum ini.
Ini termasuk menandakan zon-zon dilarang melakukan penerbangan.
Ia amat berguna kepada para pengendali dron yang ingin merancang penerbangan.
Bahkan peta 3D itu juga membolehkan para pembeli rumah meninjau pemandangan dari flat yang ditinjau.
Malah, pemandangan yang dinamik dan imersif telah menarik sebuah syarikat hartanah terbesar Singapura, memuat naik peta itu di laman internetnya.
Para pengguna juga boleh memperoleh maklumat seperti pemilikan tanah dan sekolah-sekolah berdekatan.
SLA juga sedang bekerjasama dengan Ninja Van untuk meningkatkan maklumat terperinci bagi setiap lokasi.
Versi mudah alih OneMap3D juga sedang dibangunkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.