Lebih 20 peniaga HBB ditawar 'kedai fizikal' untuk jual kuih-muih Hari Raya di OTH
Lebih 20 peniaga dari rumah atau HBB di kawasan Tampines, mendapat 'kedai fizikal' di Hab Tampines Kita (OTH) untuk menjual kuih-muih Hari Raya bermula hari ini (29 Apr).
SINGAPURA: Lebih 20 peniaga dari rumah atau HBB di kawasan Tampines, mendapat 'kedai fizikal' di Hab Tampines Kita (OTH) untuk menjual kuih-muih Hari Raya bermula hari ini (29 Apr).
Meskipun 'kedai-kedai' ini tidak sebesar bazaar Ramadan tradisional, pelbagai tawaran kuih-muih Lebarannya tetap ketara.
Sebenarnya, semua kuih Raya itu dibuat dan dijual oleh lebih 20 peniaga HBB yang tinggal di Tampines yang terjejas akibat COVID-19. OTH menyatakan, inisiatif terbarunya itu dianjurkan demi menyokong para peniaga HBB di kawasan itu.
Dipanggil 'Home Bakers of Tampines Series', ruang SPACE di OTH digunakan sebagai wadah untuk para peniaga menjual produk-produk kuih Raya HBB itu.
INGIN SOKONG PENIAGA HBB
Selain itu, OTH selaku penganjurnya juga berharap dapat menampilkan suasana perayaan kepada para penduduknya, tetapi selaras dengan pelbagai langkah pengurusan selamat.
Misalnya, hanya 50 pelanggan dibenarkan berada di ruang ini pada satu-satu masa.
Antara peniaga HBB yang terlibat dalam inisiatif OTH itu ialah Cik Norafidah Mislan dengan jenama 'Queensbake' yang sudah lapan tahun mengendalikan perniagaan dari rumah.
Bagi beliau gabungan bersama OTH itu merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan.
"Gabungan ini dapat membantu saya dan para peniaga HBB yang lain dari segi kewangan," kata Cik Norafidah yang mendapati perniagaan beliau terjejas tahun lalu akibat COVID-19.
"Ia juga dapat mengingatkan kami kembali kepada suasana riuh rendah seperti Bazaar Ramadan yang OTH sering anjurkan pada beberapa tahun yang lepas," tambah beliau.
BERI PELUANG BAGI PENIAGA HBB BARU
Selain Queensbake, OTH juga memberi peluang kepada peniaga HBB yang baru mula berjinak-jinak dalam perniagaan mereka.
Ini termasuklah Encik Solyh Ahmad dan isterinya yang baru sahaja memulakan perniagaan juadah manisan Turki awal tahun ini.
"Perniagaan-perniagaan HBB seperti kami selalunya beroperasi kecil. Lantas, OTH memberikan kami satu peluang dan platform untuk mendekati masyarakat di kawasan perjiranan Tampines ini," kata Encik Solyh, pemilik 'Saturkdate'.
Bagi Encik Solyh, beliau teruja dapat berkongsi juadah-juadah Turki, yang lain daripada yang lain, bersama para penduduk Tampines.
KONSEP HIBRID - FIZIKAL DAN ONLINE
Menariknya, inisiatif 'Home Bakers of Tampines Series' ini berkonsepkan hibrid.
Para pelanggan bukan sahaja boleh membeli belah di kedai fizikal di OTH ini, mereka juga boleh membuat tempahan dari peniaga HBB terpilih ini secara online.
Inisiatif jualan kuih ini akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan, sehingga 12 Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.