Skip to main content

Singapura

Lebih 20,000 tandatangani petisyen bantah hukuman pelajar NUS dalam kes cabul

Setakat 1.00 tengah hari pada Jumaat (27 Sep), lebih 10,000 orang menandatangani petisyen online yang menyeru orang ramai mengambil pendirian tegas terhadap apa yang disifatkan sebagai "pilih kasih" memihak kepada pesalah laku seks.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 20,000 tandatangani petisyen bantah hukuman pelajar NUS dalam kes cabul

Gambar fail Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 27 Sep 2019 05:23PM Dikemas Kini : 28 Sep 2019 07:56AM

SINGAPURA: Setakat 6.00 petang hari pada Jumaat (27 Sep), lebih 20,000 orang menandatangani petisyen online yang menyeru orang ramai mengambil pendirian tegas terhadap apa yang disifatkan sebagai "pilih kasih" memihak kepada pesalah laku seks.

Petisyen di laman change.org itu dilancarkan setelah seorang pelajar di Universiti Nasional Singapura (NUS) dijatuhi hukuman probesyen kerana mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah stesen MRT. Petisyen itu dilancarkan pada Khamis petang.

Penuntut tersebut, Terence Siow Kai Yuan, 23 tahun, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Pada Rabu, Siow dijatuhi hukuman probesyen bersyarat selama 21 bulan dan diarah melakukan khidmat kemasyarakatan selama 150 jam selain menghadiri program pemulihan khas.

Ibu bapanya juga membayar bon S$5,000 sebagai jaminan dia berkelakuan baik.

Dalam insiden yang berlaku pada 12 September tahun lalu, Siow mencabul mangsa dalam sebuah kereta api MRT di laluan Timur Laut menuju stesen Punggol. Apabila mangsa turun dari kereta api dan menaiki tangga bergerak di stesen MRT Serangoon, Siow mengekorinya dan mencabul mangsa sekali lagi.

Nama mangsa tidak didedahkan atas arahan mahkamah.

Laporan oleh New Paper, yang mendedahkan identiti Siow sebagai seorang penuntut NUS, menyatakan Hakim Mahkamah Daerah Jasvender Kaur menolak hujah pihak pendakwa untuk mengenakan hukuman penjara.

Hakim berkenaan pada Rabu dilaporkan sebagai menyifatkan kesalahan Siow sebagai "gangguan kecil" dan berkata laporan probesyen menyatakan pesalah itu sesuai untuk menjalani hukuman probesyen kerana keputusan akademiknya menunjukkan dia "berpotensi berjaya dalam hidup".

Hukuman menggunakan kekerasan jenayah dengan tujuan mencabul kehormatan membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, didenda, atau gabungan mana-mana daripada ketiga-tiga hukuman tersebut.

Menyifatkan hukuman Siow sebagai satu "langkah ke belakang", petisyen itu menyatakan: "Sudah tiba masanya ambil pendirian tegas terhadap pilih kasih berpihak terhadap pesalah laku seks, semata-mata kerana latar belakang pendidikan mereka membayangkan mereka boleh berjaya pada masa depan."

Mediacorp tidak berada di mahkamah semasa Siow dijatuhkan hukuman. Menjawab pertanyaan Mediacorp, Mahkamah Negara menyatakan salinan komen hakim tidak dapat diedarkan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita