Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 2,900 individu sudah disuntik dos pertama vaksin Sinovac sejak 30 Okt

Lebih 2,900 individu sudah menerima dos pertama vaksin Sinovac-CoronaVac sejak Pemerintah meluluskan penggunaannya di pusat-pusat vaksinasi yang terletak di Pusat Konvensyen Raffles City dan beberapa klinik yang diluluskan pada bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 2,900 individu sudah disuntik dos pertama vaksin Sinovac sejak 30 Okt

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 09 Nov 2021 07:36AM Dikemas Kini : 09 Nov 2021 07:37AM

SINGAPURA: Lebih 2,900 individu sudah menerima dos pertama vaksin Sinovac-CoronaVac sejak Pemerintah meluluskan penggunaannya di pusat-pusat vaksinasi yang terletak di Pusat Konvensyen Raffles City dan beberapa klinik yang diluluskan pada bulan lalu.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pada Isnin (8 Nov) bahawa dalam kalangan lebih 2,900 individu ini, 500 merupakan warga emas yang dibenarkan untuk mendapatkan suntikan tanpa membuat janji temu.

Bercakap di satu sidang media, pengerusi bersama pasukan bertindak kebangsaan COVID-19 itu berkata bahawa pasukan vaksinasi yang bergerak akan mula memberikan vaksin Sinovac-CoronaVac mulai Isnin - menyusuli pengumuman Pemerintah untuk menyertakan vaksin itu dalam program vaksinasi kebangsaan pada bulan lalu.

Sejak Julai, pasukan-pasukan itu - yang terutama sekali penting bagi membolehkan golongan warga emas mendapatkan akses lebih cepat kepada vaksin - sudahpun memberi vaksin kepada 70,000 individu termasuk 27,000 warga emas.

Encik Ong berkata mereka menyumbang kepada kemerosotan ketara dalam jumlah individu belum divaksin pada usia 60 tahun dan ke atas, iaitu daripada 175,000 pada awal Ogos kepada bawah 64,000 setakat ini.

"Jika tidak disebabkan kemerosotan ini, hospital-hospital dan unit jagaan rapi kini sudahpun dibebani."

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan dalam satu kenyataan media pada Isnin bahawa ia akan menutup lagi empat pusat vaksinasi pada 1 Disember menyusuli "kemajuan baik" yang dicatatkan dari segi vaksinasi dan pemberian vaksin penggalak dan program vaksinasi nasional kini beralih kepada pemberian vaksin penggalak.

"Kakitangan jagaan kesihatan yang kini bekerja di pusat-pusat vaksinasi boleh dikerahkan semula untuk menyokong keperluan tenaga kerja dalam bidang-bidang lain seperti kemudahan rawatan COVID-19," menurut MOH.

Empat kelab masyarakat yang akan ditutup adalah:

Kelab Masyarakat Kebun Baru
Kelab Masyarakat Potong Pasir
Kelab Masyarakat Taman Jurong
Kelab Masyarakat Geylang Serai

Sabtu lalu (6 Nov) merupakan hari terakhir bagi individu untuk mendapatkan dos pertama daripada Kelab Masyarakat Kebun Baru dan Potong Pasir.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan dos pertama di Kelab Masyarakat Taman Jurong dan Geylang Serai, hari ini (9 Nov) merupakan hari terakhir untuk berbuat demikian.

Keempat-empat pusat vaksinasi itu akan terus menerima janji temu bagi individu untuk mendapatkan dos kedua dan dos penggalak sehingga 30 November.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan