Lebih 2,900 amaran keras, 40 denda dikeluarkan kerana tidak patuhi jarak selamat COVID-19
Lebih 2,900 amaran keras dan 40 denda sudah dikenakan terhadap orang awam kerana tidak mematuhi langkah-langkah jarak selamat yang sudah dipertingkatkan. Secara keseluruhannya , lebih 3,100 amaran keras sudah dikeluarkan dan 40 denda dikenakan sejak Selasa (7 Apr).

Seorang Pegawai Penguatkuasaan di sebuah kedai kopi di Blk 116 Bukit Merah View menunjukkan tanda jempol kepada seorang pengendali makanan yang memakai pelitup. (Gambar: MEWR)
SINGAPURA: Lebih 2,900 amaran keras dan 40 denda sudah dikenakan terhadap orang awam kerana tidak mematuhi langkah-langkah jarak selamat yang sudah dipertingkatkan. Secara keseluruhannya , lebih 3,100 amaran keras sudah dikeluarkan dan 40 denda dikenakan sejak Selasa (7 Apr). Demikian menurut Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) melalui kenyataan medianya hari ini (10 Apr).
Agensi Makanan Singapura (SFA) mendapati seorang pengendali beroperasi secara haram dengan menjual pelitup muka di Ang Mo Kio Ave 1 hari ini. SFA mengarahkan penjaja itu menghentikan operasi dengan serta-merta dan mengenakan denda $1,000 di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) 2020. Pembekal perkhidmatan tidak penting tidak boleh menjalankan sebarang perniagaan dari mana-mana premis, menurut MEWR, sambil menambah bahawa sebarang ketidakpatuhan adalah satu kesalahan.
Bantuan polis diperlukan untuk lebih daripada 20 kes di mana orang awam tidak bekerjasama apabila diminta meninggalkan premis. Semasa operasi penguatkuasaan oleh polis, sebuah salon kecantikan di Upper Cross Street didapati menyediakan khidmat urut tanpa lesen semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Siasatan polis sedang dijalankan.
PENGUATKUASAAN LEBIH KETAT BAGI JARAK SELAMAT DI TAMAN AWAM, HUTAN SIMPANAN
Permulaan hujung minggu yang panjang ini turut menyaksikan peningkatan pada jumlah orang yang pergi ke ruang awam seperti pusat kejiranan, pasar popular, pusat penjaja dan taman riadah. Maka itu, untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan, lebih 2,800 pegawai penguatkuasaan dan duta jarak selamat dikerahkan hari ini.
Para pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) dikerahkan secara berpasukan dan bertanggungjawab untuk menguatkuasakan langkah-langkah jarak selamat di semua taman, kebun dan hutan simpanan semula jadi yang diuruskan oleh NParks termasuk Rangkaian Penghubung Taman, Pulau Ubin serta taman-taman di bawah naungan majlis bandaran.
Di kebun, taman dan hutan simpanan yang diuruskan oleh NParks, lebih 720 taman permainan dan sudut kecergasan, 12 tempat berlari anjing serta lapan kawasan memancing juga sudah ditutup untuk mengekang sebarang perhimpunan.
Bagi memastikan jarak selamat terus dipatuhi semasa waktu sibuk, menurut kenyataan itu, NParks menutup sementara tempat-tempat berikut:
- Jambatan Akses di Kolam Air Tawar Sungei Buloh
- Jambatan Akses di Taman Bishan-Ang Mo Kio
- The Henderson Waves
- MacRitchie TreeTop Walk
Penghubung Taman di Jurong Lake Gardens juga dilencongkan buat sementara waktu.
Menurut kenyataan itu lagi, NParks juga sudah memanfaatkan teknologi untuk memantau lawatan di taman-taman serta hutan simpanan seluruh negara. Ini termasuk menggunakan dron di taman terpilih dan kawasan alam semula jadi dengan lebih banyak kawasan untuk dipantau. Penggunaan dron juga memberikan gambaran lebih baik tentang kepadatan pengunjung di sesebuah kawasan tertentu.
Kementerian itu turut mengingatkan orang ramai supaya memandang serius langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dan jangan membuat lawatan keluar bersama keluarga sepanjang tempoh itu.
Ia juga memberi amaran kepada sesiapa yang gagal mematuhi langkah-langkah tersebut dan mereka boleh dikenakan tindakan tegas oleh para pegawai penguatkuasaannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.