Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 2,000 warga emas dirujuk untuk divaksinasi menerusi skim baucar HPB

Lebih 2,000 warga emas berjaya dirujuk untuk mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 mereka melalui program Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB, dengan lebih 1,740 daripada mereka sudah lengkap divaksin, kata seorang jurucakap pada Jumaat (29 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 2,000 warga emas dirujuk untuk divaksinasi menerusi skim baucar HPB

Seorang warga emas di sebuah pusat vaksinasi di Singapura (Gambar fail: Hani Amin)

Diterbitkan : 29 Oct 2021 05:09PM Dikemas Kini : 29 Oct 2021 05:14PM

SINGAPURA: Lebih 2,000 warga emas berjaya dirujuk untuk mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 mereka melalui program Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Lebih 1,740 daripada mereka sudah lengkap divaksin, kata seorang jurucakap HPB kepada Mediacorp pada Jumaat (29 Okt).

Di bawah program itu, mereka yang merujukkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas untuk mendapatkan suntikan COVID-19, akan menerima baucar elektronik bernilai S$30.

Menjawab pertanyaan mengenai sambutan terhadap program tersebut, jurucakap itu berkata baucar diberikan kepada perujuk sebaik sahaja HPB dapat mengesahkan warga emas sudah lengkap divaksin.

Program 'Let's Get Our Seniors Vaccinated' atau Ayuh Ajak Warga Emas Kita Divaksin, dilancarkan pada 13 Ogos dan akan berlangsung sehingga 30 Nov, menurut laman HealthHub.

Sebanyak 1,514 e-baucar telah diagihkan setakat 28 Okt, kata HPB. Kebanyakan warga emas dirujukkan oleh anggota keluarga terdekat mereka, sementara yang lain dirujukkan oleh saudara-mara, rakan dan jiran, tambah jurucakap itu.

Baucar boleh digunakan di perniagaan yang mengambil bahagian dalam program ganjaran HPB, termasuk FairPrice, pawagam Cathay, Sakae Sushi dan LiHo Tea.

Jurucakap itu menambah bahawa sambutannya "sangat positif dan menggalakkan".

"Kami berharap melalui program ini dan dengan jagaan serta sokongan daripada perujuk, kami dapat menggalakkan lebih ramai warga emas untuk menjalani vaksinasi supaya mereka dapat melindungi diri dengan lebih baik dan menjaga kesihatan mereka," katanya.

BAUCAR UNTUK "GANTI KOS"

Dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen pada September mengenai sama ada baucar itu mendiskriminasi mereka yang sudahpun memujuk ibu bapa warga emas mereka untuk mendapatkan vaksin lebih awal, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan baucar S$30 diberikan kepada setiap perujuk untuk menampung kos yang terlibat dalam menyokong warga emas sepanjang proses vaksinasi, seperti menemani warga emas ke pusat vaksinasi.

"Ia bagi mengiktiraf usaha tambahan yang diperlukan untuk menggalak warga emas yang mungkin ragu-ragu terhadap vaksin dan memerlukan pendampingan lebih mendalam untuk menangani kebimbangan mereka," jelas MOH.

Semasa peringkat awal program vaksinasi, ramai warga emas tampil untuk mendapatkan vaksin, menurut MOH.

“Bagaimanapun, sedang kita mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi, warga emas yang masih belum divaksin akan memerlukan pujukan dan jaminan lanjut,” tambah kementerian itu.

Pakar penyakit berjangkit di Hospital Mount Elizabeth Novena Leong Hoe Nam berkata inisiatif sedemikian amat membantu.

"Apa-apa langkah pun, berapa sahaja yang dapat, walaupun saya boleh mendapatkan hanya seorang lagi untuk divaksin, ia akan membantu hospital," katanya.

Beliau berkata warga emas yang divaksin lebih berkemungkinan pulih berbanding mereka dalam golongan usia yang sama dan tidak divaksin. Beliau menekankan lagi bahawa mendapatkan vaksin akan meringankan tekanan terhadap sumber rawatan rapi.

Menurut perangkaan terkini vaksinasi warga emas yang diberikan oleh Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli pada 25 Oktober, 87 peratus warga emas berumur 70 tahun dan ke atas sudah divaksin.

MOH juga menyatakan meskipun warga emas yang tidak divaksin membentuk sekitar 1.5 peratus daripada jumlah penduduk, mereka menyumbang dua pertiga jumlah kematian akibat COVID-19 dan kes di unit jagaan rapi (ICU).

Setakat Rabu, 84 peratus penduduk sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan 85 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, menurut perangkaan terkini MOH.

Pemerintah juga sedang menggalakkan warga emas agar mengambil dos ketiga vaksin - warga emas yang layak yang berusia 60 tahun dan ke atas boleh berkunjung ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan ini tanpa janji temu.

Sehingga Sabtu, 79 peratus warga emas yang layak sama ada sudah membuat janji temu atau sudah menerima dos perangsang mereka.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan