Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 190 jemaah Shahidah Travel selamat berkumpul di Arafah

Kesemua 192 jemaah Shahidah Travel kini berwukuf di Arafah, termasuk tujuh jemaah yang dijangkiti COVID-19 sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kesemua 192 jemaah Shahidah Travel kini berwukuf di Arafah, termasuk tujuh jemaah yang dijangkiti COVID-19 sebelum ini.

Pengarah Urusan syarikat itu, Encik Ayoob Angullia berkata, pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk memastikan para jemaah dapat menjalankan ibadah dengan sempurna memandangkan pandemik COVID-19 belum reda.

Antara langkah berjaga-jaga tambahan yang diperkenalkan kali ini adalah memastikan keadaan khemah tidak terlalu sempit.

Selain kerap mendapatkan perkembangan terkini daripada para pegawainya di Arab Saudi, syarikat ini turut memanfaatkan teknologi untuk memantau keadaan di Arafah.

"Kami menggunakan 'FB Live' untuk melihat apa-apa mungkin di sana yang mereka kurang pandang. Saya sendiri awasi keadaan supaya para jemaah dapat melakukan gerakan wukuf ini dengan baik," kata Encik Ayoob.

Encik Ayoob turut mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa syarikatnya sedang membantu menguruskan tuntutan insurans bagi 10 jemaah yang terpaksa menangguhkan keberangkatan sehingga diuji negatif COVID-19.

Menurutnya, pihaknya ingin memastikan para jemaah yang mengikuti agensinya tidak berasa terkilan kerana terpaksa berangkat lebih lewat.

"Semua jemaah kita ada insurans jadi pihak kami sedang bekerjasama dengan pihak insurans untuk membuat tuntutan hingga S$2,000. Kami membantu mereka membuat tuntutan kerana jemaah terjejas terlepas banyak program.

"Masa dia di Singapura, kawan-kawan di sana telah duduk di hotel, menjalani beberapa program. Mereka tidak perolehi itu. Jadi kita membantu mereka membuat tuntutan insurans," kata Encik Ayoob.

Menurut Encik Ayoob, pihaknya bekerja rapat dengan MUIS dan AMTAS untuk memastikan segala urusan di Saudi berjalan dengan lancar.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan