Lebih 18,000 pasangan raih manfaat program bimbingan peribadi rumah tangga
Lebih 18,000 pasangan sudah meraih manfaat daripada program Bersamamu sejak ia dilancarkan pada 2019.
(Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Lebih 18,000 pasangan sudah meraih manfaat daripada program Bersamamu sejak ia dilancarkan pada 2019.
Program bimbingan rumah tangga untuk pasangan Melayu/Islam itu bertujuan memberi sokongan menyeluruh kepada pasangan dalam membina rumah tangga mereka.
Dalam lawatannya ke Masjid Darul Ghufran pada Ahad (9 Okt), Presiden Halimah Yacob mengambil perhatian terhadap usaha para kadi dan naib kadi dalam membimbing para pasangan demi menghasilkan rumah tangga yang kukuh.
Masjid Darul Ghufran adalah salah sebuah masjid yang menyokong program Bersamamu.
"Ini satu usaha yang amat baik dari segi kadi-kadi dan naib kadi kita yang berusaha untuk mengadakan program ini untuk memberi nasihat panduan kepada pasangan yang mahu berumahtangga ataupun sudah berumahtangga selama dua tahun.
"Ramai pasangan yang saya berbincang dengan mereka tadi, katakan ini satu khidmat yang baik sebab selepas berumahtangga, bernikah, mereka kadangkala perlukan panduan ataupun nasihat.
"Kadangkala bukan senang untuk mendapatkan nasihat daripada keluarga masing-masing jadi mereka dapatkan nasihat daripada kadi, naib kadi yang mereka rasa lebih neutral dan dapat membantu mereka," kata Presiden Halimah.
Sehubungan itu, beliau juga menekankan kepentingan rumah tangga yang kukuh sebagai asas untuk menghasilkan keluarga yang stabil.
"Jika kita mahu melihat keluarga-keluarga yang kukuh, kita perlu menentukan bahawa perkahwinan juga kukuh dan kita perlu adakan keluarga-keluarga yang kukuh kerana kita mahu membentuk anak-anak dalam keadaan stabil, dalam keadaan yang dapat memberikan mereka pendidikan yang baik," ujar Presiden Halimah lanjut.
Di acara yang sama, Presiden Halimah turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada 10 kadi dan naib kadi yang merintis inisiatif itu.
Ini termasuk Ustaz Pasuni Maulan yang mempelopori inisiatif Bersamamu pada 2018.
"Bila kita melihat latar belakang pasangan yang bernikah, memang sebahagiannya itu amat lemah dan perlu dibantu dan sama ada bantuan itu dari sudut memberikan bimbingan ataupun pengetahuan...dan bimbingan yang diberikan oleh naib kadi selama dua tahun itu amat membantu mereka," kata beliau.
Pasangan-pasangan itu juga dapat diperkenalkan kepada badan-badan yang dapat membantu mereka memperkukuh dan memperkasakan rumahtangga mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.