Lebih 1,800 diberkas dalam operasi antipenipuan rentas negara
Lebih 1,800 orang diberkas kerana disyaki terlibat dalam lebih 9,200 kes penipuan rentas negara oleh penguatkuasaan undang-undang dari 7 bidang kuasa Asia. (Gambar: (SPF))
Mangsa kes penipuan dilaporkan kerugian lebih S$289 juta, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Rabu (4 Jun).
Agensi penguatkuasaan undang-undang dari Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, Maldives, Thailand dan Macau menjalankan operasi itu antara 28 April dengan 28 Mei.
Lagi 33,900 individu disiasat kerana disyaki terbabit dalam aktiviti skim penipuan.
Mereka yang diberkas atau disiasat, berusia antara 14 dengan 81 tahun, dipercayai terlibat dalam lebih 9,200 kes penipuan.
Kes-kes itu kebanyakannya terdiri daripada skim penipuan pegawai pemerintah, skim pelaburan, skim penipuan sewa dan skim penipuan cinta Internet antara lain.
Lebih 32,600 akaun bank disyaki mempunyai kaitan dengan skim penipuan dikesan dan dibekukan oleh pihak berkuasa.
Lebih S$26.2 juta dirampas dari akaun-akaun bank tersebut.
SIASATAN SINGAPURA
Di Singapura, seramai 106 orang diberkas dan lagi 545 individu disiasat.
Polis menyatakan para suspek terbabit dalam lebih 1,300 kes penipuan tempatan yang mengakibatkan kerugian sekitar S$39.3 juta.
Lebih S$7.69 juta turut dirampas dari 714 akaun bank yang telah dibekukan.
Siastan lanjut terhadap kesemua suspek masih dijalankan, menurut polis, sambil menambah mereka sedang menyiasat kesalahan seperti persubahatan untuk menipu dan pendedahan kata laluan atau kod ases yang menyalahi undang-undang berkaitan dengan khidmat identiti digital kebangsaan.
Polis juga menarik perhatian kepada dua kes penipuan menyamar sebagai pegawai syarikat China yang berlaku secara berasingan pada hujung April di mana mangsa diarahkan untuk memindahkan wang sebanyak S$25,000 dan S$45,000 ke akaun bank tempatan yang diberikan oleh si penipu.
Pusat Anti-Penipuan Singapura mendapati sebahagian dana itu dipindahkan ke beberapa bank akaun di Malaysia pada hari yang sama, tambah SPF.
Lebih S$19,000 secara keseluruhan berjaya didapatkan semula dari akaun-akaun bank itu di Malaysia dengan bantuan Pusat Respons Scam Kebangsaan di Malaysia.
Pengarah Jabatan Ehwal Komersial SPF David Chew menekankan keperluan bagi tindak balas rentas negara terhadap ancaman rentas negara dalam dunia masa kini.
"Dalam zaman digital masa kini, sindiket penipuan beroperasi tanpa kekangan geografi, menggunakan kaedah yang semakin canggih merentasi beberapa bidang kuasa untuk menipu mangsa dan melakukan pengubahan wang haram," katanya.
"Tiada satu-satunya bidang kuasa yang mempunyai jawapan memadai kepada bencana ini, tetapi lebih kuat secara kolektif."
Beliau turut memuji keberkesanan Operasi Frontier+, iaitu sebuah platform kerjasama anti-penipuan rentas sempadan yang membolehkan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang untuk bekerjasama.
Operasi Frontier+ terdiri daripada wakil dari 10 bidang kuasa - Singapura, Hong Kong, Malaysia, Thailand, Maldives, Korea Selatan, Australia, Macau, Kanada dan Indonesia.
"Operasi FRONTIER+ melambangkan keberkesanan kerjasama antarabangsa dalam memerangi penipuan. Usaha bersama ini menunjukkan komitmen bersama kita untuk mengekang sindiket penipuan rentas negara," kata Encik Chew.
"Kita akan terus mengukuhkan perkongsian antarabangsa ini untuk memastikan rakyat kita selamat daripada penipuan dan para penipu tidak akan mempunyai tempat perlindungan yang selamat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.