Skip to main content

Singapura

Lebih 1,700 rakyat SG terjejas akibat tsunami 2004; 9 maut

Lebih 1,700 rakyat Singapura berada di negara-negara terjejas ketika tsunami Lautan Hindi melanda.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 1,700 rakyat SG terjejas akibat tsunami 2004; 9 maut
Diterbitkan : 26 Dec 2024 07:26PM Dikemas Kini : 26 Dec 2024 07:27PM
SINGAPURA: Lebih 1,700 rakyat Singapura berada di negara-negara terjejas ketika tsunami Lautan Hindi melanda.

Sekurang-kurangnya sembilan daripada mereka terkorban manakala belasan lagi masih hilang.

Seorang rakyat Singapura yang terselamat berkongsi bagaimana percutian keluarganya bertukar menjadi tragedi saat bencana itu berlaku.

Dua dekad lalu, Lavan Vickneson yang ketika itu berusia 12 tahun sedang bercuti di ibu kota Sri Lanka, Colombo bersama tiga anggota keluarganya.

Beliau menyertai adik lelakinya untuk keluar berenang di sebuah resort apabila terlihat ombak besar bergerak ke arah mereka.

"Semua orang sangat tertarik dengannya, dan kami semua berdiri di tepi laut untuk melihatnya lagi. Ia berlaku untuk kali kedua, jika saya ingat lagi.

"Kemudian, ayah saya memberikan telefon Nokianya kepada saya pada masa itu untuk mengambil gambarnya dari dekat. Kemudian gelombang ombak ketiga yang berlaku adalah seperti tembok setinggi 20 meter, dan ia seperti sebuah yang mara ke arah kami.

"Kemudian saya terdengar ayah saya memanggil saya dan menyuruh saya lari. Jadi kami berlari masuk ke dalam hotel," kata Lavan Vickneson, yang merupakan mangsa tsunami Lautan Hindi 2004.

Bencana itu meragut nyawa lebih 30,000 orang dan menyebabkan lebih 800,000 orang kehilangan tempat tinggal di Sri Lanka.

Apabila ombak melanda, Lavan terpisah daripada keluarganya dan bergelut melawan arus deras.

Beliau bagaimanapun berjaya memanjat ke atas seekor kuda dari ladang hotel itu sekali gus membolehkannya berdiri di atas sebuah struktur.

Apa yang dilihatnya akan terpahat dalam ingatannya selama-lamanya.

"Saya melihat mayat bergelimpangan. Saya melihat pengunjung hotel lain berpaut pada dua pokok kelapa.

"Ia pemandangan yang tidak boleh anda lupakan. Tetapi bagi saya, perkara yang benar-benar melekat adalah emosi yang saya rasakan.

"Saya rasa takut dan saya berasa sedih kerana saya tidak tahu apa yang berlaku kepada keluarga saya.

"Jadi saya duduk di atas bumbung dan saya berdoa agar keluarga saya masih hidup," katanya.

Rasanya beberapa jam sudah berlalu apabila Lavan terdengar suara ayahnya.

Apabila tsunami melanda, ayahnya terjun ke dalam air untuk menyelamatkan ibu dan adik Lavan daripada ditelan arus deras.

Mereka bertiga terpaksa berpaut pada pokok kelapa sehingga air surut sebelum akhirnya menemui Lavan.

Mujur, Lavan dan keluarganya terselamat tanpa kecederaan yang mengancam nyawa.

Lavan memuji bapanya, yang meninggal dunia tujuh tahun lalu, sebagai seorang wira.

Kini seorang peguam, Lavan yang berusia 32 tahun berkata pengalaman perit itu merapatkan lagi hubungan keluarganya.

Peristiwa itu juga meninggalkan satu pengajaran besar dalam kehidupannya.

"Anggap setiap hari sebagai hari yang penting kerana dengan sekelip mata sahaja, insiden, malapetaka seperti ini, boleh meragut keluarga anda, malah boleh meragut nyawa anda sendiri.

"Anda harus menghargai setiap hari, dan anda harus menjalani kehidupan dengan sepenuhnya," nasihatnya.
Sumber : CNA/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita