Lebih 160 pelajar teroka laluan masa depan menerusi inisiatif XPLORE@Madrasah
Lebih 160 pelajar dan mentor menyertai acara tahunan EXPLORE@Madrasah yang diadakan pada Sabtu (12 Jul) di Guoco Midtown.
Para peserta EXPLORE@Madrasah bersama Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, Rahayu Mahzam. (Gambar: MENDAKI)
Kini memasuki edisi kelima, acara tersebut melibatkan para pelajar dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, di mana mereka didedahkan kepada pelbagai hala tuju pendidikan dan kerjaya bagi masa hadapan.
Acara itu dianjurkan oleh sekumpulan bekas pelajar madrasah yang berdedikasi di bawah MENDAKI Club. Ia menampilkan tiga komponen utama: ExploreSELF, ExplorePATHWAYS dan ExplorePROFESSIONS.
Setiap komponen dirangka untuk membantu pelajar mengenal pasti kekuatan diri, memahami pelbagai pilihan pengajian tinggi, serta meneroka kerjaya dalam pelbagai bidang di luar sektor agama.
Sesi ExplorePROFESSIONS menjadi sorotan utama bagi acara tersebut kali ini. Dalam sesi itu, para pelajar diberi peluang untuk berbual secara terbuka dan jujur dengan para karyawan dari 10 bidang yang berbeza seperti perniagaan, undang-undang dan juga multimedia.
Ramai dalam kalangan profesional yang mengambil bahagian dalam acara tersebut merupakan alumni madrasah.
Salah seorang daripada mereka ialah Cik Shaza Amran, penyelidik bidang psikologi linguistik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), yang juga merupakan ahli jawatankuasa penganjur acara tersebut dan sudah menjadi relawan sejak lima tahun lalu.
“Saya ingin berada dalam satu wadah di mana saya boleh menyumbang dan berkongsi pengalaman bersama pelajar-pelajar madrasah, serta menunjukkan bahawa mereka juga boleh menyumbang kepada sesuatu yang bermanfaat dan bermakna pada masa hadapan!” kata beliau.
Ketua EXPLORE@Madrasah, Encik Md Zulkarnain, seorang kakitangan awam di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pula berkata: “Kami berbangga kerana dapat meneruskan inisiatif tahunan ini untuk tahun kelima berturut-turut, demi membantu para pelajar kita meluaskan ufuk pemikiran mereka dan mula merancang laluan masa depan dari awal. Dengan masa yang masih memihak kepada mereka sebelum tamatnya pengajian, ini merupakan masa yang terbaik untuk membina kemahiran dan portfolio untuk menyokong kerjaya yang ingin diceburi.”
Dalam pada itu, tetamu kehormat acara tersebut, Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, Rahayu Mahzam memuji usaha para pelajar dan relawan yang tampil untuk menyumbang.
Beliau juga menzahirkan harapan agar acara yang diadakan itu menjadi benih yang merangsang masyarakat madrasah agar terus membimbing dan menyumbang kepada masyarakat.
“Pelajar madrasah kita menerima pendidikan yang menyeluruh, lengkap dengan nilai-nilai murni dan kemahiran kritikal. Jangan takut untuk meneroka lebih jauh. Nilai-nilai anda akan membimbing anda di dunia yang lebih luas," kata Cik Rahayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.