Skip to main content

Singapura

Lebih 160 notis kesalahan dikeluarkan sejak tanda amaran terhadap gangguan dipapar dalam pengangkutan awam

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 160 notis kesalahan dikeluarkan sejak tanda amaran terhadap gangguan dipapar dalam pengangkutan awam

Tanda amaran baharu untuk mengekang tingkah laku mengganggu ketenteraman di pengangkutan awam dipaparkan dalam MRT dan bas. (Gambar: CNA/Natasha Ganesan)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jul 2025 07:57AM Dikemas Kini : 08 Jul 2025 08:03AM
SINGAPURA: Lebih 160 notis kesalahan dikeluarkan sejak tanda amaran baharu diperkenalkan di pengangkutan awam untuk membendung tingkah laku mengganggu ketenteraman awam, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Tanda amaran tersebut, yang diperkenalkan secara berperingkat sejak Disember 2024, mengingatkan penumpang untuk mengurangkan bunyi bising, elak duduk di lantai dan mengambil hanya satu tempat duduk.

Tanda amaran berkaitan bunyi bising diperkenalkan bagi kedua-dua MRT dan bas, manakala yang lain terhad kepada rangkaian MRT.

Antara Disember 2024 hingga Mei 2025, bilangan kesalahan yang dicatat adalah empat kali lebih tinggi berbanding enam bulan sebelumnya dari Jun hingga November 2024.

Penumpang yang didapati melanggar peraturan ini mungkin menerima notis kesalahan, dengan denda sehingga S$500 bagi setiap pelanggaran.

Kesalahan yang lebih serius - seperti mengotorkan premis MRT - boleh mengakibatkan denda sehingga S$5,000, dan pengendali pengangkutan diberi kuasa untuk mengarahkan penumpang keluar atau memberitahu polis.

PERJALANAN LEBIH AMAN BAGI SESETENGAH PENUMPANG

Walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan, maklum balas penumpang mengenai keberkesanan tanda amaran tersebut ternyata bercampur-campur.

Daripada enam penumpang yang ditemui Mediacorp, hanya seorang yang mengingati tanda amaran baharu tersebut.

Walau bagaimanapun, sebilangan besar berkata perjalanan mereka secara amnya lebih aman.

Seorang pesara, Kamaria K, 64 tahun, menggambarkan perbezaan ketara dalam tahap bunyi bising berbanding ketika beliau bekerja sepenuh masa sebagai eksekutif perkapalan sekitar dua tahun lalu.

Ia biasanya bising semasa perjalanannya dari Yew Tee ke tempat kerjanya di Paya Lebar, katanya. "Tetapi sekarang, ia sangat senyap," kata Cik Kamaria, yang menaiki kereta api sekitar dua hingga tiga kali seminggu untuk menghadiri kelas agama.

Eksekutif pentadbiran Jenny Yeo, 66 tahun, juga berkata beliau tidak lagi mendengar perbualan kuat di telefon semasa perjalanan hariannya menerusi MRT atau bas.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui ini mungkin kerana perjalanannya pendek.

Penumpang lain bagaimanapun memberi maklum balas kurang positif.

Seorang pakar pemasaran yang hanya mahu dikenali sebagai Casey S berkata beliau menghadapi tingkah laku mengganggu ketenteraman "hampir 90 peratus masa" semasa perjalanan MRT selama 30 minit antara rumah dan tempat kerjanya.

"Sama ada mereka menggunakan pembesar suara atau menonton drama di dalam MRT tanpa menggunakan fon kepala," katanya.

Cik Noraizah Ashiraff, 44 tahun, yang menaiki MRT dan bas untuk berulang-alik, berkata tahap bunyi buising lebih cenderung dialami di luar waktu sibuk, kebanyakannya disebabkan oleh penumpang warga emas yang menggunakan peranti mereka dengan kuat.

Tanda amaran baharu itu tidak "terlalu" berkesan, kata eksekutif pentadbiran berusia 44 tahun itu.

"Untuk mengubah pemikiran rakyat Singapura serentak, saya rasa ia tidak begitu berguna. Ia akan mengambil masa untuk mendidik."

Tiada seorang pun daripada penumpang yang mengingati melihat penumpang yang mengambil lebih daripada satu tempat duduk.

Walau bagaimanapun, sebilangan besar berkata pelajar sering duduk di lantai kereta api.

PAPAN TANDA DIPASANG DI HAMPIR SEMUA MRT, BAS

Papan tanda kini dipasang di semua MRT, kecuali model R151 yang lebih baharu di Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat, yang akan dipasang secara berperingkat.

SBS Transit juga memasang tanda amaran di semua MRT di Laluan Timur Laut dan Laluan Downtown.

Pengendali bas Tower Transit sudah memasang 19 tanda "syarat pengangkutan" di panel maklumat semua enam terminal bas mereka.

Syarat-syarat ini menggariskan piawaian tingkah laku penumpang yang diharapkan di dalam bas, termasuk kelakuan yang "teratur dan sopan" serta mengekalkan kesihatan dan kebersihan awam.

Pemandu bas diberi kuasa untuk mengarahkan penumpang yang tidak mematuhi peraturan untuk turun atau, dalam kes yang serius, memaklumkan pihak polis.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan Mediacorp, pengarah komunikasi dan pengalaman pelanggan Tower Transit Glenn Lim berkata syarikat itu menjalankan kira-kira 1,800 pemeriksaan tiket sebulan sebagai sebahagian daripada rutin operasi mereka.

"Setakat ini, kami tidak perlu mengeluarkan sebarang amaran, denda, atau notis kesalahan," katanya.

"Namun demikian, kami tetap komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan kakitangan barisan hadapan kami untuk memastikan pengalaman perjalanan yang selamat untuk semua
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita