Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 16,000 pekerjaan, peluang latihan ditawarkan pameran pertama Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited

Lebih 16,000 pekerjaan, peluang latihan kemahiran dan program pelatih disediakan di Pesta Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited yang pertama pada Jumaat (3 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 16,000 pekerjaan, peluang latihan ditawarkan pameran pertama Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited

Para pekerja pejabat di Raffles Place semasa waktu makan tengah hari pada 2 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 03 Jul 2020 08:33PM Dikemas Kini : 03 Jul 2020 08:35PM

SINGAPURA: Lebih 16,000 pekerjaan, peluang latihan kemahiran dan program pelatih disediakan di Pesta Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited yang pertama pada Jumaat (3 Jul).

Daripada jumlah itu, 7,000 adalah jawatan kosong daripada sektor-sektor awam dan privet bagi lulusan baru serta pemohon kerja pertengahan kerjaya.

Pameran pekerjaan itu, diadakan di Institut bagi Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Devan Nair, yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited yang diumumkan semasa Belanjawan keempat Singapura tahun ini.

Pakej tersebut bermatlamat untuk mewujudkan 100,000 pekerjaan, program pelatih dan peluang latihan kemahiran di tengah-tengah kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Sekitar 70 syarikat mengambil bahagian dalam pameran tersebut termasuk firma-firma daripada industri-industri seperti pengilangan, makanan dan minuman (F&B), logistik, jagaan kesihatan, runcit serta teknologi infokom (ICT).

Para penyedia latihan seperti NTUC LearningHub, Politeknik Singapura (SP) dan Politeknik Temasek (TP) juga turut serta dalam pameran itu dengan lebih 6,000 peluang latihan ditawarkan kepada para individu pertengahan kerjaya.

Secara berasingan, terdapat hampir 3,000 tempat latihan amali di pameran kerjaya maya itu yang akan berlangsung sehingga 12 Julai.

Pameran kerjaya itu dianjurkan oleh Tenaga Kerja Singapura (WSG), SkillsFuture Singapore (SSG), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan e21 NTUC.

"Pameran ini melengkapkan lebih 12,000 penempatan pekerjaan yang sudahpun diselesaikan setakat ini melalui inisiatif Pekerjaan SGUnited," menurut para penganjur.

"Hampir 70 peratus daripada penempatan ini adalah dalam sektor awam termasuk jawatan-jawatan berkaitan COVID-19, jagaan kesihatan dan digital.

PROGRAM PEKERJAAN BARU BAGI PEMOHON KERJA PERTENGAHAN KERJAYA

Lebih banyak butiran juga diberikan pada Jumaat mengenai program bagi para pekerja pertengahan kerjaya.

Dipanggil Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited, ia akan menyediakan lagi 14,500 program pelatih dan latihan untuk individu pertengahan kerjaya supaya mereka boleh menimba pengalaman berkaitan industri sebagai setapak lebih dekat untuk mendapatkan pekerjaan tetap.

Mereka yang menjalani program pelatih di bawah progam itu akan menerima elaun latihan sehingga S$3,000. Pemerintah juga akan membiayai secara bersama 80 peratus daripada elaun latihan itu dengan pihak penganjur pula akan membiayai bakinya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan