Lebih 1,500 responder akan jalani latihan bantuan kecemasan psikologi bagi hadapi krisis

SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) melancarkan program latihan bantuan kecemasan psikologi yang pertama seumpamanya untuk para responder SGSecure pada Sabtu lalu (6 Mei).
Latihan tersebut diharapkan dapat melengkapkan para peserta dengan kemahiran untuk menangani emosi serta reaksi yang timbul daripada suatu krisis seperti serangan pengganas.
Menerusi sesi-sesi latihan yang akan diadakan sepanjang tiga tahun akan datang, SRC berharap untuk melatih sekitar 1,500 responder sukarela.
Semasa sesi latihan pertama yang diadakan pada Sabtu (6 Mei), sekitar 20 peserta daripada pelbagai institusi agama mempelajari teori bantuan kecemasan psikologi.
AKAN MANFAATKAN LATIHAN, GUNA DALAM SITUASI DI MASJID
Salah seorang peserta latihan tersebut ialah Ketua Bimbingan Agama dan Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Falah, Ustaz Ahmad Faritz Mohamed Hairudin.
Ustaz Faritz berkata: “Hari ini, banyak yang saya belajar dalam latihan. Antaranya adalah tiga perkara utama yang harus kita lakukan apabila kita berdepan dengan orang yang dalam keadaan tidak begitu stabil dari segi emosi. “Look, Listen, Link”.”
“Melihat isu yang dikedepankan mereka. Kita dengar dengan lebih baik dan kita sarankan tempat-tempat yang mana mereka boleh dapatkan sokongan dan bantuan,” tambah beliau mengenai 3 “L” tersebut.
Sebagai sebahagian daripada latihan sulung buat para responder SGSecure itu, mereka juga dapat sertai sesi ‘roleplay’ yang mana mereka berpeluang memainkan pelbagai peranan dalam sesuatu krisis.
“Ia bantu kita untuk menjadi kurang malu dan meneroka lebih, di mana mereka membantu untuk kita lihat di mana kita boleh mempertingkatkan diri,” ujar Ustaz Faritz.
Menerusi sesi tersebut, para responder SGSecure juga dapat menilai kekurangan dan kekuatan mereka sendiri.
Ustaz Faritz berkata: “Saya dapat lihat kekurangan saya seperti jangan cepat memberikan huraian kepada masalah mereka. Kita harus ingat bahawa mereka harus kuat untuk mendapatkan huraian mereka sendiri.”
Beliau juga berkata bahawa kursus psikologi penting, terutama untuk para pegawai dan kakitangan masjid yang juga menerima penggilan serta kunjungan daripada mereka yang memerlukan bantuan psikologi.
“Di masjid, kami akan mendapat pelbagai soalan dan kita menerima pelbagai rencam masyarakat. Jadi dengan kemahiran ini, jkita dapat mengawal masa dan membantu lebih ramai orang dan menjadi lebih efektif,” ujar Ustaz Faritz.
BANTUAN CEMAS PSIKOLOGI STRATEGI MENYELURUH DAN REALISTIK
Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling memberi perhatian bagaimana pertolongan kecemasan psikologi dianggap oleh para pakar sebagai strategi menyeluruh dan realistik tetapi tidak mengganggu dalam menangani trauma.
Beliau juga berkata bahawa selepas serangan bom di Maraton Boston pada 2013, satu cadangan yang ditimbulkan adalah penubuhan klinik kesihatan mental untuk orang ramai, mangsa yang terselamat dan keluarga mereka.
Cik Sun berkata: “Lantaran itu, sekiranya lebih ramai orang dilatih dengan kemahiran pertolongan kecemasan psikologi, maka lebih kuat sokongan psikologi masyarakat dalam kecemasan atau krisis.”
Kumpulan-kumpulan lain termasuk para pegawai keselamatan swasta dan pekerja pengangkutan awam akan menjalani latihan bagi sesi-sesi selanjutnya yang akan dijalankan sepanjang tiga tahun akan datang.
Walaupun SRC telah menyediakan latihan pertolongan kecemasan psikologi awam sejak 2016, latihan untuk para responder SGSecure telah disesuaikan dengan kandungan yang berkaitan dan senario-senario khusus.
Demi membantu gerakan SGSecure ini, Yayasan Temasek akan menyediakan geran berjumlah S$200,000 untuk melengkapkan para responder dengan kemahiran Pertolongan Kecemasan Psikologi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.