Skip to main content

Singapura

Lebih 1,500 penduduk kawasan barat SG sertai karnival kesihatan terbesar 'Kesihatan Bersama'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Karnival 'Kesihatan Bersamamu' kembali dianjurkan lebih besar kali ini dengan penyertaan lebih 1,500 penduduk.

Edisi ketiga acara itu juga merupakan yang paling besar sejak pelancarannya pada Mei tahun lepas.

Kali ini, ia melibatkan penduduk dari tujuh kawasan di barat Singapura (Bukit Batok, Bukit Batok East, Clementi, Jurong Central, Jurong Spring, Taman Jurong dan Yuhua).

Inisiatif masyarakat yang dikendalikan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Kumpulan Kerja Kesihatan Kawasan Jurong dan 16 rakan kongsi masyarakat lain itu juga sudah menjangkau lebih 550,000 anggota dan kira-kira 20 peratus daripada mereka merupakan penduduk Jurong.

Diadakan di Kelab Masyarakat Jurong Spring pada Sabtu (12 Okt), ia bertujuan untuk memperkasa penduduk untuk lebih peka dan mengambil berat tentang kesihatan mereka dengan cara yang seronok dan melalui program-program dan penglibatan dalam masyarakat.

Ini termasuk kegiatan seperti zumba, tarian dan juga demo masakan hidangan sihat.

Menteri Negara Kesihatan, Rahayu Mahzam yang juga merupakan Anggota Parlimen bagi GRC Jurong teruja dapat bersama penduduk dan sama-sama menimba ilmu tentang penjagaan kesihatan.

"Acara hari ini merupakan satu peluang untuk kita menunjukkan kepada penduduk bahawa ada pelbagai aktiviti yang mereka boleh melibatkan diri. Ada pelbagai rakan kongsi yang boleh bekerjasama dengan kita untuk melakukan program-program yang bermakna untuk penduduk.

"Saya faham untuk mencapai kesihatan bukan sesuatu yang mudah, ianya satu perjalanan dan ia memerlukan usaha tetapi dengan sokongan masyarakat, kita harapkan dapat mempermudahkan usaha ini dan lebih ramai dapat mengambil bahagian dan menjaga kesihatan mereka," kata Cik Rahayu.

PERKASA USAHA 'PROGRAM SAHAM KESIHATAN'

Penduduk Melayu/Islam di daerah itu yang mengikuti inisiatif ‘Senang Senam’ juga meraikan tamatnya program kesihatan sepanjang 12-minggu itu.

Program itu merangkumi pelbagai kegiatan yang menggalak gaya hidup aktif yang menyeluruh.

Ini termasuk penilaian kecergasan, aktiviti dan ceramah kesihatan.

Menurut Cik Rahayu, inisiatif itu memperkasakan usaha M³ untuk membantu bandar-bandar M³ menjalankan kegiatan berteraskan kesihatan buat masyarakat.

"Di Jurong kita menggunakan program itu untuk mengadakan inisiatif 'Senang Senam'. Kita telah melakukan edisi yang keempat dan hari ini mereka lulus daripada program itu.

"Ini adalah satu peluang di mana mereka dapat bersama, berkumpul dan mendapat sokongan daripada jurulatih kesihatan, melakukan aktiviti dan diberi panduan mengenai kesihatan," kongsi Cik Rahayu yang juga merupakan Menteri Negara bagi Penerangan dan Pembangunan Digital.

Selain kegiatan jasmani, beliau juga berharap para penduduk juga faham aspek-aspek lain kesihatan.

"Penting untuk kita perhatikan elemen-elemen yang lain. Misalnya, kita tahu bagaimana untuk makan dengan lebih sihat, kita perlu lakukan pemeriksaan untuk untuk memastikan yang kita juga sihat.

"Jadi, saya harapkan dengan program sebegini, kita dapat melakukan lebih banyak usaha untuk menggalakkan mereka yang dalam masyarakat kita yang ingin kekal sihat, mendapat sokongan dan bantuan yang mereka perlukan," kata Cik Rahayu.

Antara mereka yang meraih manfaat daripada program 'Senang Senam' adalah Cik Wahidah Abdul Rahim, 61 tahun.

"Saya memilih untuk menyertai program ini kerana kerana ia diadakan pada setiap hari Sabtu dan kebetulan hari saya tidak bekerja. Ia dapat mengekalkan kesihatan saya, mengurangkan berat badan saya dan juga mengurangkan tekanan darah tinggi saya," kata Cik Wahidah.

Beliau berharap dapat teruskan usaha untuk kekal sihat selepas berakhirnya program itu.

"Saya akan mengekalkan dengan berjalan pantas pada hujung minggu bersama rakan-rakan saya dengan berbuat demikian, saya dapat mengekalkan aktiviti sihat saya," kongsi Cik Wahidah.

RUANG KESIHATAN BAHARU BUAT PENDUDUK DI CLEMENTI

Para penduduk di kawasan Clementi juga boleh menjangkakan lebih banyak sokongan dalam perjalanan mereka untuk memupuk gaya hidup sihat.

Ini dengan pembangunan sebuah ruang masyarakat baharu di Blok 463 Clementi Avenue 1 pada awal tahun depan.

Ruang itu juga akan digunakan untuk menjalankan sesi kaunseling kesihatan, bengkel-bengkel kesihatan, pemeriksaan kesihatan serta acara kemasyarakatan.

"Saya rasa ini satu usaha yang baik dan kita dengan memahami demografi dan tempat-tempat dalam kawasan sekitar, kita dapat menyediakan ruang, peluang dan juga masyarakat yang dapat sama sama melakukan aktiviti bersama, mendapatkan informasi dengan lebih baik dan saling menggalak antara satu sama lain untuk bermotivasi agar terus kekal sihat," kata Cik Rahayu.

Selain itu, Program Pengurusan Berat Badan dalam Masyarakat (NU-LITE) juga akan diperluas ke lebih banyak daerah untuk menjangkau lebih ramai penduduk di kawasan Barat Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita