Lebih 1,500 penduduk GRC Marsiling-Yew Tee rai pelantikan PM Wong
Para penduduk GRC Marsiling-Yew Tee meraikan detik bersejarah pelantikan Encik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri Singapura pada Rabu (15 Mei).
SINGAPURA: Para penduduk GRC Marsiling-Yew Tee meraikan detik bersejarah pelantikan Encik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri Singapura pada Rabu (15 Mei).
Kira-kira 1,500 penduduk daripada pelbagai latar belakang dan lapisan usia berkumpul di gelanggang bersebelahan Stesen MRT Yew Tee untuk melahirkan sokongan mereka kepada PM Wong.
Beliau ke sana selepas Upacara Angkat Sumpah Perdana Menteri dan Barisan Menteri di Istana.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Ketibaannya sekitar jam 10.30 malam disambut dengan sorakan meriah para penduduk yang ghairah untuk bergambar sambil mengucapkan tahniah kepada pemimpin kawasan undi yang mereka hormati.
PM Wong sudah hampir sedekad berkhidmat sebagai Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee (Limbang).
Beliau diiringi para penasihat GRC Marsiling-Yew Tee yang lain termasuk Encik Zaqy Mohamad, Encik Alex Yam dan Cik Hany Soh.
Dalam ucapan ringkasnya, PM Wong berkata peralihan kepimpinan pada malam ini adalah peralihan yang merentas generasi untuk seluruh Singapura.
Rakyat Singapura, katanya, telah mewarisi negara yang yang kuat dan makmur yang dibangunkan generasi terdahulu.
"Kini giliran kita untuk membawa Singapura ke hadapan dan menjadikan Singapura lebih baik lagi. Sudah tentu, laluan di hadapan akan mencabar, ia akan menjadi sukar, tetapi terdapat juga peluang-peluang yang besar dan kemungkinan yang menarik. Jadi, saya berharap dapat bekerjasama dengan anda semua. Hari-hari terbaik Singapura dan bab-bab terbaik dalam Kisah Singapura berada di hadapan kita. Marilah bersama-sama membina Singapura yang lebih baik," kata Encik Wong.
(Gambar: Effa Serena Nor Azlan)
Sebagai Perdana Menteri Singapura yang keempat, beliau turut berkongsi harapannya untuk masyarakat.
"Kami mahu melihat Singapura di mana semua orang boleh maju, semua orang boleh melakukannya dengan baik. Setiap orang boleh menjadi versi terbaik diri mereka dan di mana kami boleh terus menjadi lebih bersatu sebagai satu rakyat, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama," tambahnya.
BERI JAMINAN KEPADA PENDUDUK MARSILING-YEW TEE...
Meskipun memikul tanggungjawab yang lebih besar, beliau memberi jaminan kepada para penduduknya bahawa kebajikan mereka akan terus terjaga.
"Dalam peranan baru saya sebagai Perdana Menteri, saya harap anda faham bahawa dari masa ke semasa mungkin ada tanggungjawab baharu yang menyukarkan saya untuk menghadiri beberapa acara dan aktiviti kemasyarakatan seperti yang saya lakukan dahulu.
"Tetapi saya memberi jaminan bahawa kami mempunyai pasukan yang sangat kuat semua ahli parlimen saya, pemimpin akar umbi kami, aktivis utama kami, kami akan terus bekerja keras untuk menyediakan rumah yang lebih baik, persekitaran hidup yang lebih baik dan menjaga semua keperluan anda di Marsiling-Yew Tee," ujar Encik Wong.
(Gambar: Effa Serena Nor Azlan)
PM WONG DIKENALI RAMAI SEBAGAI SEORANG YANG PERAMAH; PRIHATIN KEPADA PENDUDUK
Di acara itu juga, ramai yang datang seawal 7 malam lagi untuk menyertai satu acara Menyanyi Beramai-ramai sempena Hari Buruh.
Mereka dihiburkan dengan pelbagai persembahan muzik menarik yang diharap dapat memupuk semangat kebersamaan dan inklusif dalam kalangan penduduk.
(Gambar: Effa Serena Nor Azlan)
Sebilangan mereka yang ditemui BERITA Mediacorp berkata mereka teruja menyaksikan siaran langsung detik bersejarah Encik Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang keempat.
"Orangnya ramah. Semasa beliau pergi ke Causeway Point - ada pertunjukan di sana, saya dapat bertemu dengannya. Beliau peramah dan selalu senyum," kata Cik Ramlah Awang.
Sentimen yang sama turut dikongsi Cik Masiah Ramad.
"Gembira sekali. Rasanya, beliau boleh bawa Singapura dengan lebih baik lagi. Orangnya peramah. Dalam apa-apa acara dia selalu ada," katanya.
(Gambar: Effa Serena Nor Azlan)
Bagi penduduk lebih muda seperti Cik Seet Ynn, 25 tahun, ucapan PM Wong selepas mengangkat sumpah sangat menyentuh dirinya.
"Saya berasa sangat terharu apabila beliau membuat ucapan. Saya sangat suka bagaimana beliau mula berucap dalam bahasa Melayu dan kemudian bahasa Cina dan seterusnya dalam bahasa Inggeris. Ia menyentuh begitu banyak perkara mata, terutamanya yang sangat dekat di hati saya seperti perpaduan, memastikan setiap orang mempunyai peluang sama rata untuk berjaya dan memberikan yang terbaik dalam hidup mereka dan semua ini benar-benar dekat di hati saya," kata Cik Seet Ynn.
PM Wong memasuki politik pada 2011 dan sudah berkhidmat di GRC Marsiling-Yew Tee sejak 2015.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.