Lebih 150 peserta berbilang agama buka puasa bersama DPM Wong dan jemaah Masjid Darul Ghufran
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong menyertai acara berbuka puasa bersama lebih 150 peserta berbilang kaum dan agama serta para jemaah Masjid Darul Ghufran pada Khamis (21 Mac).
Acara 'Harmony Buka Puasa' itu dianjurkan bersama M³@Tampines, Persatuan Rakyat (PA) dan Masjid Darul Ghufran.
Semasa kunjungannya, DPM Wong sempat beramah mesra dengan beberapa pemimpin belia, masyarakat dan agama.
Acara ini turut disertai para pelajar Sekolah Menengah Dunman High serta kumpulan Qaryah di kawasan Tampines.
Majlis inklusif ini turut menampilkan para pelajar sekolah pendidikan khas dari MIJHub serta para pekerja hijrahan yang juga merupakan relawan masjid.
Di samping itu, sepanjang lebih sejam, Encik Wong dibawa meninjau-ninjau Galeri Falak dan diberi pencerahan oleh para asatizah tentang ilmu astronomi dalam kalendar Hijriah.
Inisiatif Masjid Darussalam itu akan dibawa menjelajah ke masjid-masjid lain selepas acara tersebut.
Buat pertama kalinya juga, kain kiswah Kaabah turut dipamerkan di masjid di Tampines itu.
Ia merupakan hadiah daripada kerajaan Arab Saudi kepada Singapura yang diberikannya pada Ogos 2021.
Dalam sesi berbuka puasa pula, DPM Wong disertai beberapa AP GRC Tampines termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, Datuk Bandar Desmond Choo dan Setiausaha Parlimen Kanan Baey Yam Keng untuk makan mengikut tradisi makan berdulang - suatu amalan masjid itu sendiri.
Encik Masagos turut berbesar hati masyarakat berbilang kaum dapat bersama-sama di Masjid Darul Ghufran bagi mengukuhkan lagi hubungan silang kaum dan agama.
"Kita harus mempraktikkan apa saja cara yang boleh mengekalkan lagi hubungan antara kaum dan silang agama. Hari ini Masjid Darul Ghufran menjadi hos kepada gereja-gereja, kuil-kuil Cina dan SOKA untuk bersama berbuka puasa. Begitu juga ada acara lain yang pihak masjid turut sama hadir seperti makan bersama di kuil Cina di Tampines.
"Ini adalah satu petanda baik dan saya gembira DPM Lawrence Wong bersama kami untuk menyaksikan bagaimana masyarakat bersatu, bekerjasama, mengenali satu sama lain. Kali ini melalui makan bersama," kata Encik Masagos yang juga Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Tampines.
Masjid Darul Ghufran menyediakan juadah berbuka puasa untuk sekitar 500 jemaah setiap hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.