Skip to main content

Singapura

Lebih 140,000 majikan akan terima bayaran lebih S$4 bilion biaya gaji pekerja mulai 29 Jul

Lebih 140,000 majikan akan menerima bayaran lebih S$4 bilion di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) mulai 29 Julai, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam catatan Facebooknya pada Ahad (19 Julai).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jul 2020 04:02PM Dikemas Kini : 19 Jul 2020 08:49PM

SINGAPURA: Lebih 140,000 majikan akan menerima bayaran lebih S$4 bilion di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) mulai 29 Julai, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam catatan Facebooknya pada Ahad (19 Julai).

Subsidi itu akan membiayai hingga 75 peratus daripada S$4,600 yang pertama daripada gaji setiap pekerja tempatan untuk bulan Februari dan Mac.

Para majikan dalam sektor penerbangan dan pelancongan akan mendapat sokongan 75 peratus sementara mereka dalam sektor perkhidmatan makanan, runcit, kesenian dan hiburan, pengangkutan darat, serta marin dan luar pesisir akan menerima sokongan gaji 50 peratus.

Majikan di semua sektor lain akan menerima sokongan 25 peratus.

Para majikan yang telah membuat sumbangan wajib CPF untuk pekerja tempatan mereka akan layak menerima bayaran JSS.

Dengan agihan terbaru itu, keseluruhannya lebih S$15 bilion akan dibayar kepada 1.9 juta pekerja tempatan sejak skim itu dilancarkan pada Februari, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dalam satu kenyataan bersama.

"Saya menggesa semua majikan untuk berusaha sedaya upaya mengekalkan para pekerja anda, dan mengambil peluang untuk memperbaharui operasi anda dan meningkatkan kemahiran pekerja anda pada tempoh ini," kata Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

"Bersama-sama, kita boleh bangkit lebih teguh daripada krisis ini."

Selain bayaran pada Julai, Pemerintah juga akan memberi subsidi 75 peratus daripada gaji yang dibayar pada April dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Pihak berkuasa menyatakan sebahagian daripada bayaran itu diagihkan sebagai pendahuluan dalam bayaran sebelum ini pada April untuk menyediakan sokongan aliran tunai segera.

Oleh kerana jumlah yang dikeluarkan ketika itu dikira berdasarkan gaji pekerja pada Oktober tahun lalu, penyesuaian yang perlu akan dibuat pada bayaran Julai akan datang selaras dengan gaji sebenar yang dibayar pada April, menurut mereka.

Majikan yang layak akan diberitahu mengenai jumlah bayaran mereka melalui pos, atau mereka boleh melihat salinan surat elektronik itu secara online di laman myTax Portal.

Majikan yang mempunyai aturan PayNow Corporate atau GIRO dengan IRAS boleh menerima bayaran lebih awal dari 29 Julai. Semua majikan lain akan menerima cek mereka dari 4 Ogos.

Majikan mesti memastikan bahawa sumbangan CPF wajib yang dibuat untuk pekerja mereka adalah tepat untuk menerima jumlah subsidi gaji yang betul.

Mana-mana majikan yang cuba menyalahgunakan skim itu akan dikenakan hukuman berat.

Selain dinafikan bayaran itu, pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda.

Sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kelayakan JSS, MOF dan IRAS menyatakan sebilangan kecil majikan akan menerima surat daripada pihak berkuasa yang meminta mereka mengesahkan pemeriksaan sendiri mengenai sumbangan CPF mereka dan menyediakan pengisytiharan atau dokumen untuk membuktikan kelayakan mereka bagi bayaran tersebut.

Semasa proses ini, bayaran bulan Julai mereka akan ditahan sementara, sambil menanti pemeriksaan dan pengesahan dari IRAS.

Apabila maklumat itu sudah lengkap, majikan akan menerima bayaran dengan segera.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita