Skip to main content

Singapura

Lebih 1,300 flat dengan masa menunggu lebih singkat dilancar bagi 3 projek BTO pada Feb

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Jan 2026 12:26PM Dikemas Kini : 14 Feb 2026 05:20PM

SINGAPURA: Daripada hampir 4,700 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dilancarkan merentasi enam projek dalam pelancaran pada Februari 2026, lebih 1,300 akan menawarkan masa menunggu lebih singkat.

Demikian menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Sabtu (31 Jan).

Ia sebahagian daripada lebih 4,000 flat dengan masa menunggu lebih singkat selama kurang tiga tahun yang bakal dilancarkan tahun ini.

Salah satu projek, Tampines Bliss, akan mempunyai masa menunggu hanya satu tahun 11 bulan, menjadikannya salah satu projek terpantas yang bakal disiapkan sejak inisiatif masa menunggu flat yang lebih singkat diperkenalkan pada 2018, menurut HDB dalam kenyataan medianya.

Dua lagi projek dengan masa menunggu yang lebih singkat ialah Tampines Nova dan Sembawang Deck, yang masing-masing dijangka mempunyai masa menunggu dua tahun lapan bulan, dan dua tahun sembilan bulan.

Selain tiga projek tersebut, Kim Keat Crest di Toa Payoh juga akan mempunyai masa menunggu selama tiga tahun satu bulan.

HDB juga akan menawarkan lebih 4,300 unit dalam Jualan Baki Flat (SBF) yang diadakan serentak, iaitu 40 peratus lebih banyak daripada 3,000 unit yang dijanjikan sebelum ini.

TAMPINES BLISS DAN TAMPINES NOVA

Tampines Bliss akan terdiri daripada tiga blok kediaman 10 tingkat, yang menawarkan 284 unit flat tiga dan empat bilik, berhampiran dengan Tampines Avenue 2 dan Tampines Street 22.

Penduduk akan mempunyai akses mudah ke pengangkutan awam dengan stesen MRT Tampines dan stesen MRT Tampines East terletak berdekatan, jelas HDB.

Projek tersebut akan menampilkan taman permainan, kawasan kecergasan, taman terapeutik, rumah makan dan prasekolah.

Koridor hijau di kawasan kejiranan itu juga akan menghubungkan penduduk ke Penghubung Taman Tampines, Taman Bedok Reservoir dan Taman Pasir Ris Town. 

Kemudahan berdekatan termasuk Pasar Bulat dan Pusat Makanan Tampines, serta Taman Simei.

Tampines Nova terletak di tengah-tengah Tampines Central dan terdiri daripada dua blok kediaman 14 tingkat dengan 255 unit flat Fleksi dua bilik serta flat empat bilik, kata HDB.

Hartanah tersebut akan terletak berhampiran Tampines Avenue 5, Tampines Central 8 dan Tampines Concourse.

Projek berkenaan akan menampilkan halaman di bahagian tengah dengan taman permainan dan sudut kecergasan, taman di bumbung untuk masyarakat berkebun serta prasekolah.

Penduduk juga boleh menikmati akses mudah ke Pusat Pertukaran Bas Tampines, stesen MRT Tampines dan pusat beli-belah seperti Tampines Mall, Tampines 1 dan Century Square.

Di samping itu, projek tersebut akan dihubungkan dengan ruang hijau, termasuk Taman Sun Plaza, Taman Tampines Boulevard, Taman Tampines Central dan Sungei Tampines melalui laluan berbasikal.

SEMBAWANG DECK DAN KIM KEAT CREST

Terletak di kawasan perumahan baharu Sembawang North,  Sembawang Deck akan terletak berhampiran Admiralty Street dan Admiralty Lane.

Projek itu menawarkan 777 unit flat Fleksi dua bilik, tiga bilik, empat bilik dan lima bilik bagi empat blok kediaman setinggi 20 hingga 25 tingkat.

Selain prasekolah, tempat makan, pasar mini dan kedai-kedai yang disediakan dalam projek ini, penduduk juga boleh mengunjungi Sembawang Mart atau Sun Plaza berdekatan.

Penduduk juga boleh menaiki bas ke Bukit Canberra, yang merupakan hab masyarakat dan sukan yang menawarkan kemudahan seperti dewan sukan tertutup, gimnasium ActiveSG, kolam renang, poliklinik dan pusat penjaja.

Penduduk juga boleh menantikan lebih banyak kemudahan di kawasan sekeliling, termasuk pusat kejiranan baharu dengan lebih banyak pilihan runcit dan tempat makan. 

Terdapat juga taman baharu seluas 1 hektar bersebelahan pusat dengan taman permainan dan stesen kecergasan itu.

Kim Keat Crest akan terdiri daripada empat blok kediaman 26 hingga 30 tingkat dengan 1,151 unit flat Fleksi dua bilik, tiga bilik dan empat bilik.

Terdapat juga blok sewa yang terletak di dalam projek ini, yang bersempadan dengan Kim Keat Avenue dan Toa Payoh East.

Projek berkenaan akan menampilkan kemudahan seperti pasar mini, tempat makan dan kedai, dengan lebih banyak pilihan makanan dan runcit tersedia di Pasar dan Pusat Makanan Kim Keat Palm yang berdekatan dan Pasar Toa Payoh Vista.

Penduduk juga boleh menantikan Pembangunan Bersepadu Toa Payoh yang akan datang, yang akan menyediakan akses kepada kemudahan sukan, poliklinik, Perpustakaan Toa Payoh yang baru dipindahkan dan taman bandar yang diubah suai.

Penduduk juga boleh menikmati keterhubungan yang baik dengan stesen MRT Potong Pasir dan stesen MRT Toa Payoh, dengan kedua-duanya hanya beberapa minit perjalanan menaiki bas.

Selain daripada empat projek itu, dua lagi projek akan ditawarkan dalam pelancaran BTO pada Februari - satu di Sembawang dan satu di Bukit Merah.

Butiran lanjut tentang projek-projek tersebut, termasuk kategori klasifikasinya, akan dikeluarkan tidak lama lagi.

HDB juga akan menawarkan lebih 4,300 baki flat dalam satu lagi projek SBF, yang mana kira-kira satu daripada lima flat sudah siap dibina, manakala selebihnya sedang dalam pembinaan.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita