Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 12,600 kg daging korban Jamiyah diagihkan bermula hujung minggu ini

Lebih 12,600 kilogram daging korban yang ditempah menerusi badan kebajikan Jamiyah akan diagihkan kepada golongan memerlukan di 16 kawasan undi bermula hujung minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 12,600 kg daging korban Jamiyah diagihkan bermula hujung minggu ini

Daging korban dibungkuskan di ibu pejabat Jamiyah. (Gambar fail: Jamiyah Singapore/Facebook)

SINGAPURA: Lebih 12,600 kilogram daging korban yang ditempah menerusi badan kebajikan Jamiyah akan diagihkan kepada golongan memerlukan di 16 kawasan undi bermula hujung minggu ini (31 Jul & 1 Ogos).

Antara penerimanya termasuk 1,050 penerima bantuan Jamiyah sendiri.

Jumlah daging korban yang diagihkan kepada keluarga memerlukan tahun ini juga 30 peratus lebih banyak berbanding sekitar 9,650 kg yang diagihkan tahun lalu.

Bagi para sohibul korban, daging korban tersebut juga akan diagihkan hujung minggu ini.

Demikian menurut Jamiyah dalam satu kenyataan medianya hari ini (26 Jul).

CARA PENGAMBILAN DAGING KORBAN

Para sohibul korban boleh mengambil daging korban di ibu pejabat Jamiyah pada Sabtu ini (31 Jul), menurut badan itu.

(Gambar: Jamiyah Singapore/Facebook)

Pengambilan tersebut akan dilaksanakan dengan langkah-langkah pengurusan selamat, termasuk tempoh masa yang dijarak-jarakkan bagi para sohibul korban mengambil daging korban mereka.

Khidmat pandu lalu juga akan dijalankan bagi para sohibul korban yang memandu.

(Gambar fail: Jamiyah Singapore/Facebook)

Ini bermakna mereka tidak perlu meletakkan kereta mereka, sebaliknya hanya perlu menunjukkan nombor bersiri yang dipaparkan pada surat pengambilan daging korban mereka, dari dalam kereta.

Para pegawai yang ditugaskan kemudian akan meletakkan daging korban tersebut ke dalam bahagian but kereta.

Semua daging korban akan diletakkan di dalam beg tahan sejuk (cooler bag).

Tahun ini kali kedua khidmat sedemikian dijalankan pihak Jamiyah.

Bagi para sohibul korban yang memilih supaya daging korban itu dihantar ke rumah, penghantaran tanpa sentuh tersebut juga akan dijalankan hujung minggu ini.

DITEMPAH DARI AUSTRALIA DAN INDONESIA

Tahun ini, Jamiyah menyediakan khidmat korban lembu, kambing biri-biri dan anak kambing di Australia dan Indonesia.

Lebih 1,500 ternakan ditempah di Perth dan Melbourne, manakala sekitar 370 ternakan ditempah di Indonesia.

(Gambar: Jamiyah Singapore/Facebook)

Daging korban dari Australia diterbangkan ke Singapura pada 22 Jul lalu dan ia dibahagi-bahagikan dan dibungkus mengikut bahagian yang diinginkan para sohibul korban dan bahagian yang ingin didermakan kepada golongan memerlukan di Singapura.

Daging korban dari Indonesia pula diagihkan kepada masyarakat memerlukan di Palu, Sigi, Donggala di Sulawesi Tengah dan Sumatra Utara.

Tahun lalu, Jamiyah hanya menguruskan ibadah korban di Australia sahaja dan mengambil hampir 1,040 tempahan. Sekitar 9,650 kg daging kemudian diagih-agihkan kepada lebih 3,550 keluarga memerlukan di 12 kawasan undi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan