Skip to main content

Singapura

Lebih 113,000 di S'pura terima suntikan pertama vaksin COVID-19: MOH

Lebih 113,000 individu sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, umum Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kemas kini pada Khamis (28 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 113,000 di S'pura terima suntikan pertama vaksin COVID-19: MOH

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 28 Jan 2021 11:47PM Dikemas Kini : 28 Jan 2021 11:49PM

SINGAPURA: Lebih 113,000 individu sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, umum Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kemas kini pada Khamis (28 Jan).

Lebih daripada 50 individu juga telah menerima dos kedua dan sudah selesai proses vaksinasi sepenuhnya.

Angka tersebut dijangka meningkat dalam beberapa minggu mendatang sedang program vaksinasi diteruskan, tambah MOH.

Poliklinik dan Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) terpilih juga akan berfungsi sebagai tempat vaksinasi. Sekarang ini warga emas boleh divaksinasi di sembilan poliklinik dan 21 PHPC.

Mulai Isnin depan, semua 20 poliklinik di seluruh Singapura juga akan mula menawarkan vaksinasi COVID-19, kata MOH.

Vaksinasi untuk warga emas berusia 70 tahun ke atas bermula pada Rabu di Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar.

Lebih daripada 250 diberi vaksin pada hari pertama, menurut MOH.

Jumlah warga emas yang mahu mendapatkan vaksinasi COVID-19 sangat menggalakkan, kata kementerian itu, sambil menambah bahawa mereka menjangkakan lebih ramai warga senja akan mendaftarkan diri dalam beberapa hari mendatang.

"Sehingga 27 Januari, kami mengirim surat yang ditujukan satu persatu kepada lebih 10,000 warga emas di Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar, dan lebih dari sepertiga daripada mereka telahpun membuat janji temu dalam masa dua hari selepas menerima jemputan itu," menurut MOH.

"Warga emas lain yang tinggal di kawasan ini akan menerima surat jemputan mereka pada minggu mendatang."

Surat-surat ini akan dikirim secara bertahap-tahap kepada warga emas di Singapura mulai pertengahan Februari.

MOH, HSA PANTAU KESELAMATAN VAKSIN

MOH dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan pihaknya sedang memantau dengan teliti profil keselamatan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 sedang ia diberikan kepada para penduduk.

"Di antara lebih dari 113,000 individu yang telah menerima vaksin Pfizer-BioNTech, HSA menerima 432 laporan gejala buruk dari kakitangan penjagaan kesihatan setakat 27 Januari 2021," kata MOH.

"Kebanyakan laporan ini adalah untuk gejala biasa seperti rasa sakit di tempat suntikan dan bengkak, demam, sakit kepala, keletihan, sakit badan, pening, mual dan reaksi alahan (seperti gatal, ruam, bengkak mata atau bibir). Gejala-gejala ini adalah reaksi yang biasanya dikaitkan dengan semua vaksinasi dan ia biasanya reda dalam beberapa hari."

MOH menambah terdapat tiga kes anafilaksis yang dilaporkan dalam kalangan mereka yang menerima vaksin COVID-19.

Kejadian anafilaksis - atau reaksi pantas alahan yang teruk - dengan segera ditangani oleh kakitangan penjagaan kesihatan.

"Individu-individu tersebut, berusia 20-an dan 30-an tahun mengalami pelbagai gejala seperti ruam, sesak nafas, bengkak bibir, tekak perit dan pening," kata MOH.

"Ketiga-tiga individu tersebut mempunyai sejarah alahan, termasuk alahan rinitis dan alergi makanan seperti kerang, tetapi tiada yang memiliki sejarah anafilaksis yang akan mengecualikan mereka daripada menerima vaksin."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita