Lebih 1,100 vape ditemui di tempat duduk belakang kereta di Pusat Pemeriksaan Woodlands
Vape dan komponennnya ditemui di tempat duduk belakang sebuah kereta berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 17 September 2025. (Gambar: ICA)
- Lebih 1,100 vape ditemui pada Rabu (17 Sep) selepas para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menggagalkan percubaan untuk menyeludupnya ke Singapura melalui sebuah kereta berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
- ICA menambah bahawa kes itu dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi siasatan lanjut.
- Pada Isnin, lebih 18,400 vape ditemui dalam sebuah lori berdaftar Malaysia - salah satu rampasan terbesar vape seludup yang dikesan di pusat pemeriksaan sejak undang-undang baharu itu berkuat kuasa.
- Dalam kes berasingan pada Jumaat, HSA mendakwa seorang lelaki berusia 38 tahun, Gobi Thayanithi, kerana cuba menyeludup tembakau kunyah ke Singapura.
“Para pegawai ICA telah mengarahkan kenderaan tersebut menjalani pemeriksaan lanjut dan menemui 1,169 vape yang disembunyikan di tempat duduk belakang kereta yang telah diubah suai,” kata penguasa itu dalam catatannya di Facebook pada Jumaat (19 Sep).
ICA menambah bahawa kes itu dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi siasatan lanjut.
Tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan vape dipertingkatkan apabila Singapura mengetatkan undang-undang, dengan hukuman lebih berat mula berkuat kuasa pada 1 September.
Pada Isnin, lebih 18,400 vape ditemui dalam sebuah lori berdaftar Malaysia - salah satu rampasan terbesar vape seludup yang dikesan di pusat pemeriksaan sejak undang-undang baharu itu berkuat kuasa.
Empat orang berusia antara 24 hingga 43 tahun turut diberkas atas kesalahan berkaitan vape dan dikenakan denda di tempat kejadian dalam operasi penguatkuasaan bersama selama empat hari, yang menyaksikan 27 vape dan komponen berkaitan dirampas.
“Keselamatan sempadan adalah aspek penting dalam strategi penguatkuasaan terhadap vape,” kata ICA pada Jumaat.
“Sebagai penjaga sempadan negara, ICA komited untuk melindungi Singapura dengan memastikan sempadan kita kekal selamat dan terjamin.”
Pesalah kali pertama yang ditangkap menghisap vape boleh dikenakan denda sebanyak S$500 jika mereka berusia bawah 18 tahun, dan S$700 jika mereka berumur 18 tahun ke atas.
Hukuman yang lebih berat pula dikenakan terhadap mereka yang didapati menggunakan vape yang dibubuh etomidate, dikenali sebagai Kpod.
Dalam kes berasingan pada Jumaat, HSA mendakwa seorang lelaki berusia 38 tahun, Gobi Thayanithi, kerana cuba menyeludup tembakau kunyah ke Singapura.
Pihak berkuasa menemui 3,450 paket tembakau kunyah semasa menjalankan pemeriksaan terhadap lori berdaftar Malaysia miliknya di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Khamis.
Kesnya ditangguhkan hingga 7 Oktober.
Bagi kesalahan pertama, sesiapa yang sabit kesalahan kerana mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual tembakau boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara maksimum enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh didenda sehingga S$20,000, dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.