Skip to main content

Singapura

Lebih 100,000 individu terima anugerah atas sumbangan kepada perjuangan SG lawan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Dec 2022 02:32PM Dikemas Kini : 30 Dec 2022 06:02PM

SINGAPURA: Lebih 100,000 individu akan menerima anugerah atas sumbangan mereka kepada perjuangan Singapura melawan pandemik COVID-19, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Khamis (29 Dis). 

"Untuk mengiktiraf semangat dan sumbangan masyarakat kepada perjuangan Singapura melawan pandemik COVID-19, anugerah negara khas akan diberikan kepada individu-individu dan pasukan dalam sektor awam, privet serta masyarakat, termasuk khususnya sektor jagaan kesihatan awam," menurut PMO.

Terdapat dua anugerah - Anugerah Kebangsaan (COVID-19), serta Pingat Daya Tahan COVID-19 dan Sijil Daya Tahan COVID-19. 

Sekitar 9,500 individu akan menerima Anugerah Kebangsaan (COVID-19), termasuk sekitar 4,000 individu daripada sektor jagaan kesihatan awam, 4,500 individu daripada sektor awam dan lagi sekitar 900 individu daripada sektor privet serta masyarakat. 

"Jumlah dan pecahan individu yang menerima anugerah daripada pelbagai sektor mencerminkan bagaimana perjuangan menentang COVID-19 merupakan usaha seluruh negara - termasuk mereka yang menyediakan jagaan perubatan, pemantauan dan ujian, menganjurkan program vaksinasi, menyelia langkah jarak selamat, mengendalikan operasi dormitori serta memastikan daya tahan ekonomi, sosial dan rantaian bekalan," menurut PMO. 

Tiga individu akan menerima anugerah tertinggi - Pingat Jasa Gemilang (COVID-19). Mereka ialah Profesor Madya Kenneth Mak Seck Wai, Encik Pang Kin Keong dan Encik Tan Chong Meng. 

Selain anugerah di peringkat individu, lebih 480 pasukan akan menerima Sijil Kepujian Presiden. 

Senarai penuh penerima Anugerah Kebangsaan (COVID-19) disediakan di laman web PMO. 

Dua anugerah kebangsaan baru - Pingat Daya Tahan COVID-19 dan Sijil Daya Tahan COVID-19 - mengiktiraf "sumbangan besar mereka yang terlibat secara langsung dalam perjuangan melawan COVID-19".

Sekitar 99,000 individu dan 800 pasukan akan menerima anugerah baru itu. Penerimanya akan diumumkan pada satu tarikh kelak, menurut PMO. 

"Anugerah-Anugerah Negara ini memberi penghormatan kepada mereka yang sudah menjalankan tugas mereka dan melangkaui tanggungjawab mereka untuk melawan COVID-19. Menerusi mereka, kami juga memberi penghargaan kepada ribuan lagi yang sumbangan serta pengorbanan mereka membantu kami mengharungi pandemik," menurut PMO. 

"Mereka adalah wira dalam perjuangan kami menentang COVID-19. Mereka menonjolkan kecekalan, keberanian serta semangat kemasyarakatan dan membuat kami bangga sebagai rakyat Singapura." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita