Skip to main content

Singapura

Lebih 1,000 vape & komponen berkaitan ditemui dalam kereta terlibat nahas jalan raya di Punggol

Lebih 1,000 vape dan komponen berkaitan ditemui dalam sebuah kereta yang terlibat dalam nahas jalan raya, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (15 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 1,000 vape & komponen berkaitan ditemui dalam kereta terlibat nahas jalan raya di Punggol

Lebih 1,000 vape dan komponen berkaitan ditemui dalam sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Punggol Road pada 13 Mei 2025. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)

SINGAPURA: Lebih 1,000 vape dan komponen berkaitan ditemui dalam sebuah kereta yang terlibat dalam nahas jalan raya, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (15 Mei).

Kemalangan itu yang melibatkan sebuah kereta dan bas awam, berlaku pada Selasa pada kira-kira pukul 2.50 petang di Punggol Road menghala ke Ekspreswe Tampines (TPE).

Pemandu kereta berusia 30 tahun dihantar ke hospital dalam keadaan sedar, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Seorang penumpang wanita berusia 28 tahun turut dibawa ke hospital, namun beliau kemudian disahkan meninggal dunia.

Polis menyatakan pihaknya menemui beberapa pod vape dalam kereta tersebut, sambil menambah kesalahan berkaitan vape akan dirujuk kepada HSA.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, HSA menyatakan lebih 1,000 vape dan komponennya ditemui dalam kereta tersebut.

"Pemandu kereta itu sedang membantu HSA dalam siasatan berkaitan dengan kesalahan vape," ia menambah.

Dalam gambar-gambar yang diterbitkan oleh akhbar Shin Min Daily News, kereta itu melanggar bahagian belakang sebuah bas dekat persimpangan antara Punggol Road dengan Sengkang East Way.

Kereta itu mengalami kerosakan teruk, dengan bahagian bonetnya remuk dan cermin depannya pecah.

Bas itu juga mengalami kerosakan pada bahagian belakang di sebelah kiri.

Siasatan polis masih dijalankan.

Menurut HSA, ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) untuk mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual vape dan komponen berkaitannya.

Sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua atau yang seterusnya, hukuman lebih berat boleh dikenakan iaitu denda sehingga S$20,000 atau hukuman penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita