Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 1,000 penduduk Marine Parade buka puasa beramai-ramai

Lebih 1,000 penduduk kawasan Marine Parade daripada berbilang bangsa dan agama menyertai acara berbuka puasa beramai-ramai pada Ahad (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 1,000 penduduk Marine Parade buka puasa beramai-ramai

(Facebook/Tin Pei Ling)

SINGAPURA: Lebih 1,000 penduduk kawasan Marine Parade daripada berbilang bangsa dan agama menyertai acara berbuka puasa beramai-ramai pada Ahad (24 Mac).

Acara 'Berbuka Puasa Dalam Harmoni' di Kelab Masyarakat MacPherson itu adalah yang kedua dianjurkan tujuh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dari kelompok Marine Parade.

Ia turut disokong M³@Geylang Serai, MESRA, Majlis Pembangunan Masyarakat Tenggara, Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) dan Harmony Circle.

"Dengan adanya berbuka puasa bersama, kita dapat memahami dengan lebih mendalam tentang ibadah puasa itu dan seterusnya dapat berbincang juga dan dapat mengetahui bahawa puasa itu adalah satu yang bukan sahaja daripada kesihatan tetapi daripada ibadah untuk membersihkan diri sendiri, muhasabah diri, di mana kita dapat membantu dan menerangkan kepada bangsa-bangsa lain untuk mereka menghormati ibadah puasa kita," kata Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman.

(Facebook/Tin Pei Ling)

Turut hadir di acara tersebut ialah para penasihat akar umbi kelompok Marine Parade Dr Tan See Leng, Encik Seah Kian Peng, Encik Lim Biow Chuan dan Cik Tin Pei Ling.

Sebelum berbuka puasa, para hadirin mendengar perkongsian tentang puasa dan keistimewaan bulan Ramadan bagi masyarakat Islam oleh Ustaz Muhd Mukhtar dari Masjid Wak Tanjong.

Salah seorang penduduk yang teruja untuk menyertai acara berbuka itu ialah Cik Michelle Sng, seorang atlit lompat tinggi negara.


"Saya berasa sangat, sangat bertuah untuk menjadi sebahagian daripada (acara berbuka) ini kerana di Singapura kita adalah masyarakat berbilang budaya, ini adalah peluang yang baik untuk kita sentiasa belajar tentang budaya berbeza di sekeliling kita.

"Saya fikir sifat yang dimiliki oleh rakan-rakan Islam kita sangat mengagumkan kerana ia adalah sesuatu yang perlu mereka usahakan sepanjang bulan. Sebagai seorang atlet, saya sangat mengagumi mereka kerana melakukan ini kerana ia memerlukan banyak disiplin untuk menyempurnakan puasa mereka," kata Cik Sng, yang juga pemenang empat pingat Sukan SEA dan pemegang rekod negara dalam kategori lompat tinggi wanita.

Selain perkongsian budaya dan agama, pihak penganjur juga mengambil langkah proaktif untuk menggalak pemakanan sihat dan sifat kemampanan.

Para penduduk menjamu selera hidangan nasi briyani lebih sihat yang disediakan Masjid Wak Tanjong.

"Di dalam perbincangan kami, saya cuba mengutarakan menggunakan kurang garam, kurang minyak dan cuba menggunakan beras basmati. Selain itu saya cuba mengutarakan menggunakan pinggan mangkuk yang mesra alam," kata Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat MacPherson, Cik Rahimah Maarof.

Pelbagai kegiatan menarik seperti melukis kaligrafi Arab stesen pendaftaran Healther SG dan pemeriksaan kencing manis oleh Diabetes Singapore turut diadakan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan